Telah berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan banyak kenderaan. Ada orang tersepit dalam kenderaan, ada yang pengsan, ada yang bergelimpangan di atas jalan raya, ada yang luka parah, dan macam-macam lagi. Kebanyakan orang yang ada di kawasan sekeliling hanyalah orang biasa yang tidak mempunyai asas rawatan kecemasan. Tapi mereka cuba sedaya upaya untuk menolong sekadar yang termampu dari segi fizikal dan pengetahuan pada masa itu. Ada yang cuba menenangkan mangsa, menahan darah mangsa yang mengalir, menelefon bantuan kecemasan, mengawal lalulintas, dan sebagainya. Kemudian datang beberapa orang yang ada asas pertolongan cemas. Mereka pernah menjalani latihan bulan sabit merah buat beberapa bulan. Mereka telah cuba memberi bantuan CPR, memasang anduh kepada yang patah tangan, membalut luka, dan memberi bantuan asas dengan peralatan asas 'first aid kit' yang mereka ada. Akhirnya dalam beberapa tempoh masa kemudian, datanglah ambulan yang membawa mangsa ke hospital berdekatan bagi rawatan penuh. Di hospital, kelengkapan dan peralatan semuanya lengkap, beserta dengan para doktor yang terlatih bagi menguruskan mangsa kemalangan tersebut.
Begitulah perumpamaan yang agak mudah mengenai keadaan ummat pada hari ini. Di seluruh dunia ummat sedang mengalami sakit iman. Ada yang kronik sakitnya, bahkan ada yang sampai terkeluar iman dari hati sanubarinya na'uzubillah. Maka alim ulama' dakwah menyeru agar bangkit ummat hari ini dengan segala apa yang ada pada mereka, dengan segenap kemampuan tenaga dan ilmu yang ada, bagi berusaha menyelamatkan iman ummat yang tengah parah. Seruan dibuat agar ummat hari ini melapangkan masa, tenaga dan harta dengan kemampuan masing-masing untuk sama-sama membantu dan bergotong royong didalam usaha menyelamatkan iman ummat ini. Maka ummat ini pun bangun membantu; ada yang menyediakan prasarana, memberi bantuan logistik, dan pelbagai bentuk bantuan lagi mengikut pengetahuan dan kemampuan masing-masing. Dan ada yang telah terlatih didalam usaha dakwah selama beberapa bulan, mereka mempunyai asas dakwah, berpengalaman untuk menyampaikan agama dengan hikmah dan akhlak yang baik, ikram dan memuliakan saudara-saudara Islam yang dijumpai bagi mengajak dan memujuk mereka agar hampir kepada Allah. Bila mereka yang didatangi telah bersedia untuk kembali kepada Allah dan mengusahakan iman mereka, maka mereka akan dibawa kepada 'doktor iman' iaitulah para ulama' yang haq yang akan mengajar mereka selok belok agama secara terperinci.
***
Telah berlaku ribut yang kuat sehingga feri penumpang telah terbalik. Beratus ratus orang didalamnya tenggelam timbul didalam laut. Sebahagian besar tidak tahu berenang dan sedang lemas. Ada yang boleh berenang lalu menyelamatkan diri, dan ada yang boleh berenang lalu bertekad untuk cuba menyelamatkan yang lain. Namun siapakah yang patut ditolong? Akhirnya keputusan dibuat untuk memberi prioriti kepada usaha menyelamatkan rakan-rakan yang paling hampir sedaya yang mampu. Manakala rakan-rakan yang jauh telah dikemudiankan.
Terdapat pula para penonton memerhatikan kejadian di pantai. Dan mereka terus menonton.
Begitulah perumpamaan usaha dakwah hari ini. Begitu ramai manusia yang lemas didalam lautan kemaksiatan, kemungkaran dan kekufuran. Sedangkan yang menyedari keadaan ini hanyalah segelintir golongan beriman yang ada kerisauan ummat didalam hatinya. Lalu usaha untuk menyelamatkan manusia yang 'lemas' ini dijalankan. Namun bilangan 'penyelamat' terlalu sedikit, lalu prioriti diberikan kepada usaha menyelamatkan rakan-rakan yang berdekatan kerana peluang untuk diselamatkan adalah lebih cerah berbanding dengan yang jauh. Yang 'dekat' ialah saudara-saudara seIslam yang ada kalimah, cuma saja imannya yang begitu lemah dan lembik sehingga amalan agama didalam diri mereka begitu jauh dari agama. Dan bagi orang-orang yang belum beriman, usaha ke atas mereka dikemudiankan, dan bukannya ditinggalkan.
Namun malangnya, si penyelamat pula disalahkan oleh masyarakat, 'mengapa tak diselamatkan semua sekali? mengapa kau biarkan yang jauh itu mati?' Sedangkan mereka yang berkata itu hanya duduk dan mengkritik dan tidak berbuat apa-apa.
No comments:
Post a Comment