Kalaulah kita dapat bercakap-cakap dengan bayi didalam kandungan, kita akan katakan kepadanya,
'Wahai sang bayi, satu hari nanti, sama ada kamu mahu atau tidak, kamu akan keluar dari alam yang kamu duduki sekarang. Dan kamu akan pergi ke alam yang jauh lebih luas.'
Sang bayi akan menjawab, 'Tidak, aku tak percaya. Aku tak pernah lihat alam yang kau katakan. Aku selesa berada di dalam alam yang aku diami sekarang. Dan aku tidak mahu pergi ke mana-mana.'
Namun bila tiba masanya, sang bayi pun dilahirkan. Terkejut dengan apa yang dilihatnya akan hakikat alam yang jauh lebih luas dari apa yang didiaminya sebelum itu, sang bayi pun menangis semahu-mahunya. Dan dia tidak dapat kembali ke alam kandungan yang dinikmatinya.
Begitulah dengan kehidupan didunia ini. Allah telah hantar 124 000 nabi-nabi untuk memberi faham kepada kita (dengan maksud yang sebegini), 'Wahai manusia, ketahuilah bahawa ada alam kehidupan yang sebenar yang jauh lebih besar dan kekal selama-lamanya yang kamu semua akan hadapi, bermula dengan saat kematian kamu nanti.'
Namun ada dikalangan manusia yang lupa atau buat-buat lupa akan hakikat ini, lantas berkata, 'Ah! Aku tak percaya. Aku tak pernah lihat apa-apa pun di dalam kubur. Semuanya akan bertukar menjadi tanah selepas mati. Dan aku hendak nikmati kehidupan dunia ini semahu-mahunya.'
Namun bila tiba ajal, manusia tetap akan mati. Dan bila disingkap realiti kehidupan sebenar di alam akhirat bermula dengan alam kubur, maka manusia pun sedar sesedar-sedarnya. Maka manusia pun menangis penuh penyesalan, namun tiada apa yang dapat dibuat, kerana tidak dapat lagi kembali ke alam dunia.
Allah Taala berfirman, 'Dan mereka berkata: “Apakah bila kami telah lenyap (hancur) di dalam tanah, kami benar-benar akan berada dalam ciptaan yang baru?” Bahkan (sebenarnya) mereka ingkar akan menemui Rabbnya.
Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Rabbmulah kamu akan dikembalikan. (QS. 32:10-11)
***********
Jika kita dapat berkata-kata dengan sang bayi didalam kandungan, mungkin dia akan bertanya, 'Mengapa aku perlu ada mata, telinga, hidung, tangan dan kaki? Aku tak perlukan ini semua dalam kehidupanku ini. Aku sudah selesa dengan apa yang ada. Aku sentiasa kenyang kerana makanan sentiasa masuk melalui saluran ke perutku ini.'
Kita pun akan menjawab, 'Wahai sang bayi, ketahuilah bahawa walaupun pancaindera yang kau katakan itu seolah-olah tidak berguna kepadamu di alam yang kau duduki sekarang, namun bila kau pergi ke alam dunia nanti, semuanya adalah sangat penting untuk kau meneruskan kehidupanmu. Dan peluang untuk kau membina pancainderamu itu hanyalah dialam yang kau tinggal sekarang. Maka siap-siapkanlah sebelum tiba masanya kau keluar dari alam itu. Dan ketahuilah bahawa saluran yang kau katakan itu, tidak ada gunanya sama sekali dialam dunia nanti dan tak dapat memberi manfaat sedikitpun.'
Maka bila bayi dilahirkan, maka barulah dia mengerti gunanya mata, telinga, hidung, kaki dan tangan yang perlu disediakan dialam kandungan. Manakala tali pusat yang membekalkan rezeki makanan untuknya selama didalam kandungan telah ditanam. Ada pula bayi yang lahir tanpa mata, atau tanpa kaki, atau tanpa tangan. Namun bayi yang cacat ini tidak ada peluang lagi untuk masuk ke kandungan ibunya untuk membina semula tubuhnya itu. Dan kehidupannya didunia menjadi sukar.
Begitulah juga, ada manusia bertanya, 'Mengapa perlu solat? Puasa? Zakat? Haji? Beramal soleh? Apa hasilnya didunia ini? Sedangkan aku boleh hidup dengan selesa dengan sumber rezekiku sendiri, dengan wang, pangkat, kedudukan yang aku ada. Aku tak perlukan amalan-amalan agama ini semua.'
Sedangkan Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah para kekasih dan para ambiya'-Nya' dengan pelbagai cara (yang lebih kurang sebegini maknanya), 'Wahai manusia! Ketahuilah bahawa amalan-amalan yang Allah perintahkan kepadamu, adalah untuk manfaat dirimu sendiri di alam akhirat kelak. Sedangkan amalan-amalan ini tidak memberi manfaat sedikitpun kepada Rabb-Mu, dan jika kamu tinggalkan, tidak akan memberi mudharat sedikitpun kepada-Nya. Ketahuilah! Bahawa amalan-amalan soleh ini hanya dapat kamu kerjakan didunia ini, dan pintu amalan akan ditutup setiba ajalmu kelak. Bersedialah menghadapinya.'
Maka bila sampai ajal, maka barulah manusia melihat akan kebenaran hakikat kehidupan akhirat yang sebenar-benarnya. Amalan solehlah yang akan menjadi teman di kubur, pemberat timbangan kanan di mahsyar, pembantu di titi sirat, dan menjadi asbab rahmat Allah datang kepadanya dan membawanya ke syurga. Namun ada yang tidak beramal didunia, menyebabkan amalannya cacat di akhirat. Dan kehidupan akhiratnya menjadi sukar. Namun tidak ada peluang lagi untuk kembali kedunia, kerana alam dunia pun sudah tiada kerana telah kiamat. Dan harta benda, pangkat dan kedudukan dunia tidak bermanfaat sedikit pun di alam akhirat.
Allah berfirman, 'Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabbnya, (mereka berkata): “Ya Rabb kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin”. (QS. 32:12)