Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Thursday, September 29, 2011

Abu Ayub al-Ansari Radhiallahu anhu

Pusara Abu Ayyub
Kubur Abu Ayub al-Ansari Radiyallahu anhu berhampiran Masjid Eyyub, Istanbul, Turki

Abu Ayyub al-Anshari ra atau nama sebenarnya Khalid ibn Zayd ibn Kulayb dari Bani Najjar merupakan seorang sahabat yang mulia dan terkenal dengan keindahan budi pekerti. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sangat akrab dengan Rasulullah SAW dan bersama Baginda di dalam semua peperangan. Malah Allah telah memuliakan penduduk Timur dan Barat yang me­nyebutnya, manusia yang paling tinggi darjatnya yang mana rumah­nya telah dipilih di antara rumah kaum Muslimin lainnya untuk persinggahan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah. Ini merupakan kemuliaan terbesar bagi Abu Ayyub al-Anshari ra.



Abu Ayyub al-Anshari ra terlibat secara langsung di dalam usaha dakwah menawan dan membebaskan kota Konstantinople pada tahun 44H/ 666M di dalam satu ketumbukan tentera yang diketuai oleh Yazid bin Muawiyah bagi merealisasikan Motivasi Nabawi berdasarkan hadith:



“Konstantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” (Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335)

Tahukah anda bahawa Abu Ayyub al-Anshari pada ketika itu usianya sudah mencecah lebih 80 tahun! Ya, beliau sudah cukup tua. Namun beliau membuktikan bahawa tokoh lanjut usia yang penuh uban di kepalanya juga mampu memberi sumbangan dan berprestasi besar dalam perjuangan Islam!


Maka sebagaimana yang diceritakan dalam perkisahan sejarah, tentera Islam telah bertembung dengan Tentera Byzantine di Konstantinople dan terjadilah perang yang berkecamuk. Saat jatuh sakit menjelang wafat di antara pasukan Muslimin yang tengah dalam perjalanan berperang, Yazid bin Muawiyah telah bertanya kepadanya apa permintaan terakhir beliau. Maka dengan semangat juang, Abu Ayyub al-Anshari menjawab dalam keadaan nazak:

“Bawakan tubuhku dan teruskan perjuangan bersama-sama dengan tubuhku di tengah musuh. Dan sekiranya aku syahid meninggal dunia.. Kau kebumikanlah aku di Konstantinople.. Supaya pada suatu hari nanti apabila tentera Islam berjaya menawan Konstantinople.. Maka aku akan mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku… Dan pada hari itu tahulah aku bahawa janji Nabi SAW sudah terlaksana!”

Sebahagian riwayat menyatakan Abu Ayyub al-Anshari dengan sepenuh keyakinan mengatakan; “Jika aku mati maka bawalah jenazahku. Jika kalian bertemu dengan musuh, kuburkanlah jasadku di sana. Aku ingin jasadku dikubur di tengah medan pertempuran atau yang dekat dengannya, sehingga rohku bergerak di atas medan tempur.”

Itulah permintaan Abu Ayyub al-Anshari dan ditunaikan oleh Yazid bin Muawiyah. Beliau menginginkan kehidupan Akhiratnya dalam keadaan berjihad sebagaimana semasa hidupnya di dunia. Akhirnya di jantung Konstantinople, ketika pasukan Islam berperang melawan pasukan musuh, di sanalah jasad Abu Ayyub al-Anshari yang mulia itu dimakamkan.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, lebih 800 tahun kemudian, tentera Islam pimpinan Muhammad bin Murad yang lebih dikenali sebagai Muhammad Al-Fateh pada tahun 857H/ 1453M berjaya menawan Konstantinople dan menukar namanya kepada Islam Bul yang bermaksud Kota Islam (kini dikenali sebagai Istanbul). Maka Abu Ayyub al-Anshari pastinya gembira mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburnya pada ketika itu. Dan benarlah bahawa janji Nabi SAW pasti terlaksana!


[Dipetik dan disunting dari http://muhtarsuhaili.wordpress.com/2009/12/21/motto-hidup-infiru-khifafan-wa-tsiqalan/#more-676]












Nama 'Jamaah Tabligh'

Bismillah, Alhamdulillah, was Solatu wassalamu ala Rasulillah.

Nama 'Jamaah Tabligh' sebenarnya hanyalah gelaran yang diberi kepada orang-orang yang membuat usaha agama yang suci murni ini. Hazrat Maulana Muhammad Ilyas al-Kandhlawi (semoga Allah merahmati beliau) sendiri tidak menamakan usaha yang suci murni ini dengan apa-apa nama sekali pun. Jika mahu, maka beliau akan menamakannya sebagai 'Tahriki Iman', iaitu usaha atas peningkatan dan perbaikan iman.

Benarlah sedemikian, kerana usaha ini bukanlah sebuah persatuan, pertubuhan, parti, kelab, atau seumpamanya. Tiada pendaftaran perlu dibuat, tiada yuran kemasukan dan yuran tahunan, tiada pejabat dan kertas kerja mahupun perlembagaan persatuan, atau seumpamanya.  Ia adalah usaha, atau 'mehnat' dalam bahasa urdu, atau 'effort', bagi orang-orang Islam memperbaiki dan meningkatkan iman dan amalan.

Para alim ulama' dakwah tidak mahu usaha ini dianggap sebagai sebuah lagi gerakan atau pertubuhan Islam, kerana ini boleh menyebabkan ummat Islam menjadi berpecah belah. Sedangkan usaha ini adalah perintah Allah Subhanahu wa Taala, dan merupakan  usaha yang telah dibuat oleh Para Nabi Alaihimussalam yang terdahulu, sehinggalah kepada Rasululullah Sallallahu alaihi wa sallam dan para sahabat radhiallahu 'anhum ajma'in, dan mereka yang mengikuti mereka ini dengan baik zaman berzaman.

Perumpamaan usaha ini adalah seperti jamaah solat, yang pesertanya dari pelbagai latar belakang, yang melapangkan beberapa masa untuk ke masjid, untuk melakukan ibadah solat dibelakang seorang imam, bagi menyempurnakan perintah Allah, sesuai dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam. Kemudiannya mereka akan beredar bagi memenuhi keperluan masing-masing, dan kemudiannya bila sampai waktunya, akan kembali semula ke masjid bagi menunaikan solat berjamaah yang seterusnya. Tidak pernah ada kita mendengar Persatuan Solat Jamaah, atau Kelab Solat Fardhu di masjid, atau Parti Sembahyang atau yang seumpamanya, yang memerlukan pendaftaran dan senarai ahli dan perkara-perkara bersangkutan.

Disusun tertib dan usul didalam usaha agama ini, bertujuan bagi memudahkan ummat Islam di akhir zaman ini untuk mempelajari usaha agama yang ditinggalkan oleh Nabi SAW dan para sahabat (r.anhum), dengan niat agar kadar usaha atas agama ini dapat ditingkat dan disempurnakan sehingga 100% sebagaimana yang asal.

Sebagaimana Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya agar solat, puasa, berzakat, menunaikan haji, membaca Qur'an, berzikir, berbuat baik sesama manusia, berakhlak mulia, bersifat mahmudah, berzuhud, sabar, bersyukur, dan perintah-perintah lainnya. Begitu juga, Allah Yang Maha Kuasa memerintahkan kita agar beramar makruf nahi mungkar, menyeru manusia kepada Allah dan bermujahadah di jalan Allah. Perkara ini telah dibuktikan oleh amalan Rasulullah SAW dan para sahabat (r.anhum). Agama ini telah tersebar ke seluruh dunia melalui perantaraan usaha dakwah yang mereka jalankan. Lebih kurang 90% kubur-kubur para sahabat (r.anhum) berada diluar Madinah. Kuburan mereka bertebaran di China, Indonesia, Eropah, Afrika, dan serata pelusuk dunia. Ini menunjukkan amalan dakwah Ilallah ini merupakan amalan mereka (r.anhum) sehingga ke akhir hayat.

Semoga Alah memberi kefahaman kepada kita mengenai perkara ini, dan menjadikan kita sebagai ummat Nabi SAW yang mewarisi amalan, kerja, fikir, risau dan kebimbangan yang ada pada diri Baginda yang kita cintai, Sallallahu alaihi wa sallam. Amin.

Jamaah Tabligh Menyembah Kubur?