Ada ilmuwan salafi mempertikaikan usaha dakwah dan tabligh didalam hal-hal berikut:
1. Aqidah - Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma wa Sifat
2. Sumber rujukan - Fadhoil A'maal
3. Ilmu sebagai syarat untuk berdakwah
4. 3 hari, 40 hari dan 4 bulan tidak dibuat oleh Nabi dan para sahabat
Bagi perkara no. 4, iaitu permasalahan keluar di jalan Allah pada beberapa tempoh, sila rujuk
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2008/07/khuruj-ke-jalan-allah-3-hari-40-hari-4.html
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2011/06/di-mana-datangnya-3-hari-40-hari-4.html
Ringkasnya, tempoh 3 hari, 40 dan 4 bulan hanyalah bertujuan untuk mengatur gerak kerja dakwah dan ia merupakan isu pentadbiran (administration) yang tiada kena mengena dengan isu syariah. Seperti juga disusun silibus dan tempoh pembelajaran bagi program diploma dalam pengajian tahfiz selama setahun atau dua tahun, program ijazah sarjana muda dalam Usuluddin selama 3 ke 4 tahun, program ijazah sarjana dalam Syariah selama 1 atau 2 tahun, program PhD dalam Hadith di Universiti Madinah selama 3 ke 4 tahun, program motivasi Islam musim panas, atau seumpamanya. Nabi dan para sahabat tidak pernah melakukan ini semua, namun kita faham bahawa ia bukanlah bertujuan untuk membuat benda baru didalam agama, tetapi bertujuan untuk membantu didalam merealisasikan pemahaman dan proses pembelajaran agama itu sendiri.
Mengenai perkara no. 3 iaitu ilmu sebagai syarat berdakwah, diantara penerangan mengenainya bolehlah dirujuk di
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2008/07/ilmu.html
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2011/06/jamaah-tabligh-mengabaikan-ilmu.html
Kesempurnaan ilmu bukanlah syarat untuk berdakwah. Sebab jika ilmu yang sempurna adalah syarat, bagaimana hendak diamalkan sabda Nabi 'Sampaikan dariku walaupun satu ayat?'
Dan bagaimana hendak diukur ilmu seseorang untuk melayakkannya berdakwah? Adakah setelah ada diploma dalam Pengajian Islam? Atau ada ijazah peringkat sarjana muda? Atau sarjana? Atau PhD? Sedangkan semua ini tiada dizaman Nabi dan para sahabat.
Dan umum mengetahui bahawa sebaik sahaja Sayyidina Abu Bakar radhiallahu anhu mengucap syahadah, beliau terus melaksanakan dakwah dan keesokannya membawa 6 orang kepada baginda Nabi Sallallahu alaihi wa sallam untuk di Islamkan. Nabi tidak meletakkan syarat untuk Abu Bakar duduk bersama baginda dan belajar tauhid atau syariah dulu buat beberapa waktu sebelum boleh berdakwah. Perkara yang sama juga dilalui oleh para sahabat yang lain.
Sayyidina Muaz bin Jabal Radhiallahu anhu adalah salah seorang mujtahid yang besar dikalangan para sahabat. Namun hendaklah diingat bahawa bilangan mujtahid dikalangan para sahabat adalah kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan para sahabat yang dianggarkan 124 000 orang itu. Dalam hal ini, kita hendaklah memahami perbezaan diantara mujtahid (orang yang berijtihad) dan da'i (orang yang berdakwah). Setiap mujtahid adalah da'i tapi tidak semua da'i adalah mujtahid. Tanggungjawab sebagai da'i jatuh ke atas setiap individu ummat Islam, namun tanggungjawab mujtahid hanyalah kepada beberapa orang yang mengkhususkan diri didalam mendalami ilmu agama. Bahkan dikalangan para sahabat, kemampuan mereka adalah pelbagai, misalnya Sayyidina Abu Hurairah adalah seorang Muhaddith, Sayyidina Abdullah Ibnu Abbas adalah seorang Mufassir, Sayyidina Zaid bin Tsabit adalah seorang Qari, Sayyidina Muawiyyah sebagai penulis wahyu, Sayyidina Khalid Ibnu Walid adalah seorang Mujahid dan panglima perang, dan sebagainya. Hanya segelintir yang berkemampuan untuk mengeluarkan fatwa seperti Sayyidatina Aisyah, Sayyidina Ali, Sayyidina Umar, Sayyidina Muaz bin Jabal, dan beberapa sahabat yang lain. Tidak semua sahabat yang menjadi mujtahid, namun kesemua mereka adalah penyeru kepada agama Allah Taala (da'i).
Namun tidaklah dinafikan, ilmu adalah penting untuk berdakwah walaupun ia bukanlah syarat. Ulama' sebagai orang yang berilmu adalah yang paling layak untuk dikedepankan didalam arena dakwah, kerana mereka adalah pewaris para Nabi, dan tanggungjawab dakwah adalah yang paling berat yang berada diatas bahu-bahu mereka.
Mengenai perkara no. 2 iaitu terdapat hadith dho'if didalam kitab Fadhoil A'maal, penerangan mengenainya bolehlah dirujuk di sini
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2011/07/jamaah-tabligh-meriwayatkan-hadith.html
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2012/02/karomah-syaikh-ahmad-rifai-rahimahullah.html
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2011/12/banyaknya-rangkaian-sanad-menguatkan.html
Ringkasnya, jumhur Ulama' berpendapat bahawa adalah dibenarkan untuk berpegang dengan hadith-hadith dhaif didalam perkara kelebihan-kelebihan amal (Fadhail A'maal). Haruslah diingat bahawa metodologi penulisan kitab fadhoil ini bukan sahaja ditempuh oleh Maulana Zakariyya, bahkan juga oleh para alim ulama' sebelumnya. Misalnya kitab Targhib wa Tarhib oleh Hafiz al-Munziri, Ihya' Ulumiddin oleh Imam Ghazali, Tanbihul Ghafilin oleh Faqih Abul Laits Samarqandi, Durratun Nasihin oleh Syaikh Uthman al-Khaibawi, dan banyak lagi yang lain seumpamanya.
Imam Bukhari Rahimahullah sendiri menyusun kitab fadhail yang bertajuk Adab al-Mufrad yang turut terkandung didalamnya hadith-hadith dhoif. Dan juga sekiranya hadith -hadith dhoif tertolak, mengapa pula Imam-Imam hadith seperti Imam Tirmizi, Imam Nasa'i, Imam Abu Daud, Imam Ibnu Majah dan yang lain-lain turut memasukkan hadith-hadith dhaif didalam kitab-kitab susunan mereka?
Jika tetap ditegaskan juga bahawa hadith dhaif ditolak penggunaannya oleh sesetengah Ulama', maka dalam masa yang sama pendapat jumhur Ulama' yang mengatakan bahawa bolehnya hadith-hadith dhaif digunakan misalnya didalam perkara fadhail, tidaklah boleh ditolak sama sekali. Paling kurang pun, permasalahan ini jatuh didalam perkara khilafiyyah dan perselisihan pendapat. Maka berlakunya perbezaan pendapat dikalangan alim ulama' didalam isu penggunaan hadith dhaif adalah didalam ruang lingkup perbahasan agama dan ia bukanlah satu yang menjadi aib kepada usaha dakwah dan tabligh seperti yang digembar-gemburkan.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh para Ulama' yang mengkaji kitab Fadhail Amaal karangan Maulana Muhammad Zakariyya Rahimahullah, tiada hadith palsu didalam kitab tersebut. Jika dikatakan ada, maka hendaklah dinukilkan agar dapat dimuzakarahkan mengenai statusnya.
Mengenai perkara no. 1 iaitu ilmu aqidah, maka hendaklah diketahui bahawa antara usul yang dipegang didalam usaha dakwah dan tabligh ini ialah untuk tidak membicarakan perkara-perkara khilafiyyah, atau perkara yang para alim ulama' ada perbezaan pendapat mengenainya. Ini adalah bertujuan untuk memberi prioriti kepada perkara yang lebih penting didalam usaha dakwah dan didalam mendekatkan orang awam kepada agama dan suasana agama yang kondusif dan tenang. Bila manusia sudah berjinak-jinak dengan amalan dan praktis agama, maka tentunya mereka boleh terus maju didalam mempelajari ilmu-ilmu agama seperti aqidah, syariah dan akhlak dengan lebih mendalam. Terdapat ramai para alim ulama' yang menyertai usaha agama ini, sama ada aliran pondok atau moden; aliran tradisionalis atau reformis; dari India, Indonesia mahupun Saudi, dan sebagainya. Tiada batasan atau tegahan untuk mempelajari ilmu agama jika bersama-sama didalam usaha dakwah ini. Bahkan para Ulama' dan Masyaikh dakwah sentiasa menganjurkan agar pengusaha agama mendalami ilmu agama dan merujuk kepada ulama' tempatan mereka masing-masing.
Pada pandangan peribadi saya, alangkah baiknya sekiranya ilmuwan salafi di nusantara mengambil pendekatan yang konstruktif dan membina, dengan cara bermuzakarah dengan alim ulama' dan masyaikh dakwah dan tabligh secara berdepan dan didalam suasana kasih sayang. Para alim ulama' dakwah dan tabligh sentiasa berjumpa dan bermuzakarah dengan para ilmuwan di Saudi. Dan hasilnya, dikalangan ilmuwan Saudi, semakin ramai yang terbuka hati untuk bersama, menyokong atau menggalakkan golongan awam bersama-sama dengan usaha dakwah ini. Misalnya pendapat Syaikh Uthaimin
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2010/11/pendapat-syaikh-ibnu-uthaimin-tentang.html
Syaikh Abu Bakar alJazairi juga telah banyak mengeluarkan tulisan yang memuji dan mempertahankan usaha dakwah dan tabligh ini.
Manakala pendekatan destruktif dan menghancurkan, memburuk dan mengecilkan, mengulang-ulang perkara yang dikatakan salah padahal wujud perbezaan pendapat mengenainya, adalah usaha yang langsung tidak memberi kebaikan kepada ummat keseluruhannya. Perkara yang wujud khilaf didalamnya bukanlah satu kemungkaran mutlak yang wajib dicegah. Apatah lagi jika ada unsur fitnah dan cacian, maka ia adalah sangat bahaya dan memberi mudharat kepada yang berkata dan yang menerima kata-kata tersebut.
Semoga Allah mengampuni kita dan menunjukkan kepada kita yang haq adalah haq dan kekuatan untuk berpegang teguh dengannya, dan menyatukan ummat ini, apatah lagi di akhir zaman yang penuh dengan kefasadan dan kemungkaran ini. Wallahu a'lam.
2 comments:
Satu pencerahan dalam usaha dakwah & tabligh.. Perkara ini bukan baru berlaku, dah lama pun. Benda yg sama dijadikan alasan utk mentidakkan sesuatu usaha. Memaksa org ramai utk dgr kata2 mereka, doakan hidayat pada mereka2 ini..
Tuan Anonymous,
Terima kasih.. Moga Allah bagi dan tambah taufik untuk saya, tuan dan seluruh ummat.. Amin.
Post a Comment