Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Wednesday, September 12, 2012

Usaha dakwah & usaha politik

Didalam usaha dakwah dan tabligh, diantara usul yang telah digariskan ialah agar isu politik dan khilafiyyah tidak disentuh. Usul ini telah memberi begitu banyak manfaat dan kebaikan kepada usaha ini; ia menyebabkan usaha ini dapat menembusi sempadan negara-negara kafir dan sekular seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, negara-negara Eropah, negara-negara komunis, bahkan Israel sekalipun. Ummat Islam di negara-negara tersebut telah dijumpai dan didakwahkan, usaha-usaha atas iman dapat dijalankan, masyarakat Islam yang hampir-hampir murtad berjaya dikembalikan kepada Islam dan amalan Islam, masjid-masjid berjaya dibangunkan semula, anak-anak mula dididik dengan agama sehingga telah lahir kembali generasi baru alim ulama' dari negara-negara tersebut. Ini ialah hasil yang tidak dapat dinafikan, dan ia bukanlah satu hal yang kecil yang boleh diketepikan begitu saja oleh pemikir dan pejuang Islam.

Sebagai contoh mudah, sila rujuk
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2012/09/laporan-usaha-dakwah-di-sweden.html
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2012/09/laporan-usaha-dakwah-di-santiago-chile.html
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2012/09/laporan-usaha-dakwah-di-rusia-pada.html

Namun ada segolongan manusia yang berpendapat, jika mengasingkan politik dari Islam, ia menjadikan agama ini seperti agama Budha, Kristian atau Hindu yang mengasingkan urusan duniawi dengan keagamaan. Bahkan ada yang berpendapat bahawa menolak politik boleh merosakkan aqidah.

Saya yang kerdil ingin memberi pandangan peribadi mengenai dakwaan ini. Pandangan saya tidaklah terlepas dari salah dan silap. Jika ada yang benar, ambillah. Jika salah, maka betulkanlah, dan saya mohon ampun pada Allah. Tujuan saya bukannya untuk berdebat, namun sebagai seorang Islam, rasanya saya berhak mengemukakan pandangan dalam hal ini. Dan yang pastinya pandangan saya bukanlah pandangan rasmi Jamaah Tabligh, atau seumpamanya.

Mengenai politik Islam, Hazrat Maulana Muhammad Zakariyya Rahimahullah telah mengupas secara panjang lebar mengenai perkara ini melalui kitab beliau 'al-Eti'dal fi Maratib ar-Rijal'. Sila rujuk
http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2012/07/politik-islam.html

Sepanjang dan setakat pengamatan peribadi saya terhadap ucapan dan penulisan para Ulama' dan Masyaikh Dakwah dan Tabligh, mereka TIDAK pernah menafikan, merendahkan, menidakkan, mengecil-ngecilkan, atau meremehkan usaha-usaha agama yang dijalankan oleh pihak lain. Bahkan mereka menganjur agar pengusaha-pengusaha dakwah dan tabligh agar memuliakan para alim ulama' yang terlibat didalam usaha yang lain, membuat hubungan baik dengan rakan-rakan yang melibatkan diri dengan usaha yang lain, bahkan menegah pengusaha agama ini dari membanding-bandingkan, apatah lagi mencela atau mencerca usaha agama yang lain.  Ini termasuklah usaha yang menggunakan platform politik, atau usaha menegakkan negara Islam melalui politik demokrasi dan kepartian.

Setakat kefahaman saya yang cetek ini, para alim ulama' dan masyaikh dakwah dan tabligh menjadikan usaha ini sebagai prioriti yang utama, dan meletakkan usaha ini sebagai yang lebih aula berbanding usaha-usaha agama yang lain. Seperti yang dikatakan diatas, ini tidaklah bermakna usaha-usaha lain itu salah atau buruk, tetapi isunya ialah memilih diantara yang baik atau yang lebih baik. Maka secara umumnya, mungkin boleh dikatakan bahawa ulama' dakwah telah berijtihad bahawa usaha dakwah ini adalah lebih penting untuk didahulukan (pada waktu ini) berbanding usaha agama yang lain. Maka apabila para alim ulama' (yang kita ketahui dan iktiraf kedudukan dan kelayakan mereka dalam bidang ini) berijtihad, maka walaupun salah, mereka tetap mendapat ganjaran dari Allah Subhanahu wa Taala atas hasil usaha mereka didalam mengeluarkan pendapat.

Keseluruhan agama ini terdiri dari cabang Aqidah (Imaniyyat), Syariah (Ibadah, Muamalah dan Muasyarah) dan Akhlak. Didalam perkara Aqidah, kita semua bersatu dibawah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Didalam perkara Syariah pula, wujud perbezaan pendapat didalam ruang lingkup yang tertentu sehingga wujudnya mazhab-mazhab seperti Syafi'i, Hanafi, Maliki dan Hanbali. Namun keempat-empat mazhab ini adalah benar dan betul dan kesemuanya diiktiraf oleh para alim ulama' zaman berzaman.

Khusus didalam perkara yang bersangkutan dengan Muasyarah yang termasuk didalamnya Siasah (politik) dan Jinayah, juga wujud perbezaan pendapat didalamnya. Dan perkara ini dibuktikan didalam sejarah, misalnya perbezaan pendapat politik diantara Sayyidina Ali Karamallahu wahjah dengan Sayyidatina Aisyah Radhiallahu anha dan Sayyidina Muawiyyah Radhiallahu anhu sehingga berlakunya peperangan Jamal dan Siffin yang mengorbankan puluhan ribu para sahabat Ridhwanallahi alaihim ajma'in. Namun para alim ulama' dan salafussoleh tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini, bahkan kesemua para sahabat difatwakan sebagai syahid dan masuk syurga, baik di pihak Ali atau Muawiyyah.

Maka jika perbezaan pendapat yang begitu besar pernah berlaku dikalangan para sahabat (yang tentunya ditaqdirkan oleh Allah untuk berlaku supaya menjadi pengajaran kepada kita ummat akhir zaman), apatah lagi perbezaan pendapat dizaman ini didalam cara untuk mengembalikan agama ditahap yang agung seperti yang pernah ditinggalkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Perbezaan pendapat akan tetap berlaku tetapi ia tidak akan memecahkan ikatan Islam dan ummat Islam.

Perbezaan pendapat diantara usaha agama ini hanyalah perkara furu' atau cabang didalam agama. Janganlah kerana berlakunya perbezaan pendapat ini, maka para mendokongnya terbawa-bawa sehingga sanggup mengkafir dan mensyirikkan pihak yang lain, Na'uzubillahimin zalik.

Marilah kita saling berkasih sayang dan cinta mencintai sesama ummat Islam, kerana kita semua diumpamakan sebagai satu badan atau satu bangunan yang saling menguat dan memerlukan.

No comments: