Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Tuesday, September 11, 2012

Tragedi Bi'r Ma'una: Jihad dakwah para sahabat

Tragedi Bi'r Ma'una telah diceritakan oleh Qutbul Aqtab, Syaikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhlawi Rahimahullah didalam kitab beliau Kisah-Kisah Para Sahabat, didalam bab 7, kisah yang kelapan. Sila rujuk
http://www.islamibayanaat.com/EnglishLiterature/English-StoriesOfTheSahabahRA-FazailEAmal.pdf

Secara ringkasnya, kisah ini ialah mengenai tragedi pembunuhan satu jemaah yang dikenali sebagai Jamaah Quraa, yang terdiri dari 70 hafiz al-Qur'an dikalangan para sahabat Radhiallahu anhum. Mereka telah syahid dibunuh oleh musuh-musuh Islam di satu tempat bernama Bi'r Ma'una. Mereka dihantar oleh baginda Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam didalam misi menjalankan dakwah dan taklim kepada Bani Amir, kabilah Najd.

Jika diteliti, jamaah Quraa ini dihantar bukanlah atas maksud untuk berperang atau melancarkan jihad qital ke atas musuh Islam. Oleh itu pastinya kelengkapan yang mereka bawa bukannya untuk menghadapi peperangan. Paling tidak pun, jika ada, mereka mungkin membawa pedang yang disarungkan sebagai simbol kebiasaan masyarakat Arab pada ketika itu, sebagaimana jemaah haji yang bersama-sama dengan Rasulullah sebelum perjanjian Hudaibiyah dimeterai.

Mereka dihantar untuk menjalankan dakwah dan taklim kepada Bani Amir yang rata-ratanya telah pun memeluk Islam, agar bertambah keimanan mereka kepada Allah dan Rasul, dan agar mereka mengetahui bagaimana untuk mengamalkan agama didalam kehidupan. Kematian mereka adalah dikira sebagai syahid di jalan Allah. Jika syahid, bermakna mereka sedang berjihad dan berada dijalan Allah. Jihad mereka ialah mendakwahkan Islam, meninggikan kalimah Allah dan menyebarkan risalah Islam.

Kisah ini menunjukkan bahawa syahid di jalan Allah bukanlah sahaja mati didalam berperang dijalan Allah, tetapi juga mati ketika dengan niat atau sedang mendakwahkan manusia kepada Allah, meninggikan syiar agama Allah dan yang seumpamanya. Ini juga menunjukkan bahawa ganjaran yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya untuk orang yang berperang dijalan Allah, juga diperoleh oleh orang yang mendakwahkan agama Allah, kerana mereka semua termasuk didalam golongan yang berada dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri. Wallahu a'lam.

No comments: