Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Saturday, July 28, 2012

Politik Islam


Qutbul Aqtab, Syaikhul Hadith, Ra’isul Muhaddithin Allamah, Hazrat Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhlawi, adDeobandi, Muhajir Madani, Rahmatullah alaih, telah menyusun sebuah kitab yang berjudul al-Eti’dal fi Maratibur Rijal, atau dikenali sebagai Politik Islam.

Kitab ini ada di link


Syaikhul Hadith menyatakan bahawa untuk memahami isi kandungan kitab ini, ia hendaklah dibaca bukan hanya sekali, tetapi beberapa kali. Beliau juga mengatakan bahawa ini adalah pandangan beliau semata-mata; jika hendak diambil, ambillah. Jika tidak, maka terpulanglah kepada masing-masing yang empunya diri.

Kitab ini sebenarnya ialah surat jawapan yang agak panjang kepada persoalan yang ditimbulkan oleh seorang pelajar mengenai pergolakan politik semasa yang berlaku di India. Pada masa itu, India telah mencapai kemerdekaan dari British. Namun telah wujud perbezaan pandangan dikalangan orang Islam di India, sama ada hendak menubuhkan kerajaan secara bersama dengan masyarakat Hindu, atau menubuhkan kerajaan yang tersendiri dan berpisah dari India. Kedua-dua pandangan didokong oleh kelompok besar Islam yang turut disertai oleh para alim ulama’ besar India pada masa itu. Hakimul Ummat Hazrat Maulana Asyraf Ali Thanawi Rahmatullah alaih menyokong pembentukan Negara Islam tersendiri manakala Amirul Hind Hazrat Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani Rahmatullah alaih mendokong fahaman pembentukan kerajaan bersama dengan masyarakat Hindu.

Krisis perbezaan politik ini telah dikupas dan diterangkan oleh Syaikhul Hadith dengan mendalam berdasarkan al-Qur’an, Sunnah, pandangan alim ulama’ zaman berzaman dan sejarah Islam dari zaman Nabi, para sahabat dan salafus Soleh. Penjelasan yang dibuat oleh Syaikhul Hadith adalah sangat penting untuk difahami, apatah lagi kerana ia ditulis oleh alim besar yang diketahui latar belakang kehidupannya, pendidikannya, pengorbanannya untuk agama, keterlibatannya didalam bidang dakwah, ilmu dan tazkiyyah, pegangan kuatnya terhadap Sunnah, dan juga kerana kezuhudan, kewarakan dan keikhlasannya, serta kedudukannya yang tidak dipengaruhi atau menyebelahi mana-mana pihak.

Alangkah baiknya sekiranya kitab ini dibaca, ditelaah, dikaji, dan diteliti oleh ahli politik Islam semasa terutamanya di negara kita, kerana begitu banyak manfaat yang boleh diperoleh darinya. Bahkan oleh semua golongan yang terlibat dengan usaha membangunkan Islam sama ada melalui politik, ekonomi, sosial, dakwah, pendidikan, dan lain-lain. Kitab ini sangat relevan dan banyak yang boleh diambil iktibar darinya, terutama didalam situasi politik negara kita sekarang yang agak bergolak dan telah banyak timbul kekeliruan, kekusutan fikiran, perbezaan pandangan, bahkan kadang-kadang sampai ke peringkat yang lebih buruk lagi yang tidak perlu dinyatakan disini.

Semoga Allah menyelamatkan negara kita dari ancaman dalam dan luaran yang boleh menyebabkan perpecahan dan kehancuran, dan semoga tidak terjadi segala bentuk malapetaka, serta dikekalkan pula didalamnya keamanan, kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan. Masih belum terlambat bagi orang-orang Islam di Malaysia berusaha untuk mengukuhkan kembali negara yang tercinta ini dengan bersatu padu dan berkasih sayang sesama mereka.

Hanya kepada Allah lah kita mengadu, memohon perlindungan dan meminta bantuan.

No comments: