Bismillah, Alhamdulillah, was solatu wassalamu ala Rasulillah.
Telah dibincangkan sebelum ini mengenai bagaimana para alim ulama' dan masyaikh dakwah begitu menekan dan menitikberatkan kepentingan ilmu: mempelajari, mengamal dan menyampaikannya, serta peri pentingnya memuliakan para alim ulama', dan pentingnya kesedaran dikalangan orang awam mengenai kedudukan istimewa para Ulama' disisi Allah, sebagai pewaris para Ambiya' dan sebagai penyambung usaha dan kerisauan baginda Nabi Sallallahu alaihi wa sallam.
http://dakwah-ilallah.blogspot.com/2011/06/jamaah-tabligh-mengabaikan-ilmu.html
Begitu juga, telah menjadi perkara yang diketahui umum didalam usaha dakwah yang suci murni ini, untuk ummat ini yang telah mula berbuat usaha dakwah, untuk mengikrami dan memuliakan para alim ulama' setempat, untuk duduk dan belajar dengan mereka, dan menyertai majlis-majlis yang mereka anjurkan, walaupun ustaz atau alim berkenaan tidak bersama-sama berbuat usaha yang suci murni ini.
Namun, masih ada bunyi-bunyi suara yang mengatakan bahawa 'orang tabligh tidak duduk majlis ilmu di masjid', atau 'bila ustaz mula bukak kitab, mulalah puak tabligh pakat ramai-ramai keluar masjid, duduk nyembang di beranda/serambi masjid', dan seumpamanya.
Pada pandangan saya, pertamanya, kita hendaklah bersangka baik kepada semua orang Islam, termasuklah orang-orang yang berbuat usaha agama. Mungkin atas beberapa maslahat mereka tidak dapat duduk didalam majlis ilmu. Dan kita juga bersangka baik kepada yang berkata-kata seperti diatas, kerana mungkin mereka silap faham, atau atas alasan apa sekalipun, sehingga terkeluar kata-kata sedemikian. Jika masing-masing kita bersangka baik, maka InsyaAllah, apa-apa keburukan atau perpecahan atau permusuhan yang menjadi matlamat iblis dan syaitan, akan dapat dibendung, dengan izin Allah Taala.
Orang-orang yang terlibat dengan usaha dakwah dan tabligh ini, kebanyakannya dan rata-ratanya adalah orang awam. Ada yang memang ahli masjid sejak sebelum bersama-sama dengan usaha yang suci murni ini. Ada yang baru mula berjinak-jinak dengan masjid, dan bahkan ada yang sebelumnya merupakan ahli maksiat yang berniat dan berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah Taala. Ada yang baru, dan ada yang lama. Ada berilmu, dan ada yang baru belajar. Maka atas kepelbagaian ini, kita kena memahami mengapa dan bagaimana reaksi yang dapat atau mampu mereka buat jika berhadapan dengan keadaan seperti dibawah:
1. Apabila ustaz yang mengajar mula 'menyerang' dan mengatakan sesuatu yang kurang menyenangkan mengenai usaha dakwah dan tabligh ini.
Kadang-kadang, ada kebenaran didalam apa yang diutarakan oleh para ustaz yang berkenaan. Insyaallah, jika disampaikan teguran dengan kasih sayang dan lemah lembut, tentunya orang-orang yang belajar usaha agama ini akan menerimanya. Sebab usaha agama ini bergerak dengan kasih sayang dan kecintaan sesama ummat, dengan penuh rendah diri dan menafikan kepentingan diri, dengan memuliakan sesama Islam menurut darjat keimanan masing-masing, dan usaha atas hati-hati manusia. Nasihat yang lembut, InsyaAllah akan dapat meresap ke dalam hati, dan dinilai oleh akal yang sihat.
Namun, jika 'diserang' dengan hujah-hujah dengan cara seolah-olah hendak memperlekeh, merendah-rendahkan dan memalukan, bukan saja 'orang tabligh', malah siapa saja yang diperlakukan demikian, pastinya akan mengambil sikap 'defensive', bersikap kritikal atas ucapan 'keras' yang dilontarkan, dan dalam keadaan hati terpaksa 'disabarkan' atas 'kepanasan' ucapan tersebut, bagaimana mungkin nasihat para ustaz dapat difahami dan diambil pengajaran bagi perbaikan masa depan?
Dan sifat bangsa melayu kita, yang mudah terasa hati, juga dirasakan oleh pengusaha agama ini. Jika tiap-tiap kali ceramah diadakan, 'serangan' terhadap usaha dan pengusaha agama dibuat, maka sampai masanya, kesabaran mencapai hadnya. Maka segelintir akan berasa sukar untuk menerima kritikan pedas ini, lantas bertindak keluar dari majlis. Alangkah sedihnya kerana berlaku perkara yang sepatutnya tidak berlaku.
Alangkah baiknya jika para ustaz bermuzakarah dengan alim ulama' yang bersama -sama dengan usaha dakwah ini, agar yang tersimpul dapat dileraikan, yang kusut dapat dilicinkan, yang gelap dapat diterangkan, yang kabur dapat dijelaskan. Kebanyakan hujah keras yang dikemukakan hanyalah isu titik bingik, ranting atau furu' agama yang kebanyakannya telah dijelaskan didalam blog ini. Serangan hujah secara keras terhadap golongan awam didalam usaha dakwah ini tidak akan membuahkan hasil yang baik, kerana latar belakang mereka yang tidak difahami oleh si penceramah.
Nabi Sallallahu alaihi wa sallam telah mengajar kita bagaimana cara menegur kesalahan-kesalahan individu atau golongan didalam majlis baginda yang mulia. Teguran baginda penuh dengan kasih-sayang, tidak memalukan sesiapa, dan membuahkan hasil yang sangat baik ke atas orang yang ditegur. Alangkah baiknya jika kita sama-sama dapat mengamalkan perkara ini.
2. Apabila isu perbezaan perjuangan usaha atas agama dimainkan
Inilah yang kerap berlaku di nusantara, apabila ustaz dari gerakan A atau pertubuhan B atau parti C mula menimbulkan isu 'mengapa usaha tabligh tidak begini dan begitu? tidak buat ini dan itu? tidak terlibat dengan aktiviti sekian sekian' dan seumpamanya.
Perkara ini sepatutnya telah lama reda dan tidak perlu diungkitkan. Ia seperti membangkitkan persoalan perbezaan pendapat didalam mazhab, berlainan pandangan didalam bacaan qiraat dan seumpamanya. Jika mazhab feqh yang empat diterima dan kesemuanya betul, dan jika berlainan guru didalam thariqah juga dapat diterima, maka mengapakah perbezaan cara didalam mengusahakan kembali agar agama ini dapat di bangunkan semula sepertimana tahap yang ditinggalkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, perlu dipersoalkan?
Ini adalah termasuk didalam perkara yang diijtihadkan oleh para alim ulama' zaman ini. Dan perkara yang diijtihadkan oleh Ulama' bermakna semuanya diterima kerana pandangan mujtahid tidak membatalkan pandangan mujtahid yang lain. Semuanya memperoleh ganjaran disisi Allah Taala, sama ada ijtihadnya baik atau lebih baik. Ini kerana masing-masing telah mengerahkan seluruh tenaga dan mencurahkan seluruh masa dan kemampuan didalam mengeluarkan ijtihad tersebut.
Maka didalam perkara perbezaan pendapat ini, kadang-kadang ustaz yang berceramah itu cenderung untuk memenangkan fahamannya dan menolak mentah-mentah pandangan alim ulama' dakwah. Tentunya pengusaha agama akan bersedih hati dan mana-mana yang tidak tahan, akan keluar meninggalkan majlis. Alangkah sedihnya kerana perkara yang boleh dielakkan telah berlaku.
3. Apabila isu bid'ah membid'ahkan dibangkitkan
Dewasa ini, ada angkatan ilmuwan Islam yang suka membid'ahkan pandangan yang tidak sealiran dengan mereka. Bid'ah pula, tanpa kecuali dan pukul rata, dikaitkan dengan kesesatan, dan kesesatan membawa ke neraka. Sesetengah perkara yang telah menjadi ijma' ulama' sejak ratusan tahun telah dipandang lekeh, hadith-hadith sahih telah didhaif dan di'mungkar'kan, isu khilafiyyah dibesar-besarkan seolah-olah menjadi isu aqidah, amalan kebiasaan masyarakat yang tidak bersalahan disisi syariat telah di momok-momokkan, dan pelbagai lagi yang seumpamanya.
Alim ulama' haq, orang-orang berilmu dan berakal waras kenal dengan golongan ekstrim ini. Mereka menasihati orang awam agar berhati-hati dengan golongan ini, kerana golongan ini akan menimbulkan keragu-raguan dan kecelaruan didalam kefahaman agama. Maka alim ulama' haq menganjurkan agar, bagi mengelak kekeliruan didalam ilmu dan amalan agama, hendaklah dijauhi majlis-majlis golongan yang suka membid'ahkan sesama Islam ini. Dan nasihat ini dituruti oleh sebahagian yang memahami, termasuklah segolongan pengusaha agama yang suci murni ini yang tahu duduk perkara sebenar. Namun bagi golongan awam lain yang tidak faham, mereka nampak seolah-olah 'orang tabligh tak duduk majlis ilmu'.
Maka diharapkan agar alim ulama haq, yang walaupun tidak turut serta didalam usaha dakwah ini, memahami situasi yang dimaksudkan.
Ini hanyalah pandangan peribadi saya yang mungkin ada salah silap dan cacat celanya. Jika ada yang baik, maka ambillah. Jika ada yang salah, maka tegurlah saya dan perbetulkanlah. Niat saya cuma untuk menyatakan yang pengusaha agama ini mencintai ilmu dan alim ulama' dan majlis-majlis ilmu, dan mereka berusaha ke arah itu.
Wallahu a'lam.
5 comments:
jzk Allah
memang ramai juga org tabligh malas nak duk majlis ilmu sbb mmg tak de semangat dah lgpun x larat dh nk nuntut ilmu masail yg berat so malz nk duk pengajian ilmu.
tapi rama pula anak depa yg mengaji bermula dengan tahfiz alquran lps tu ngaji kitab sampai 8 thn dan ada juga yg sambung jd mufti 2 thn. kemudian jd alim besar yg tawaduk dan zuhud. jd w.pun org tabligh dikatakan tk duk majlis ilmu ats faktor2 yg pelbagai tp mrk tlh jadikan zuriat mrk sbg ulamak kitab yg amiliiin alhafiz dan daie yg bterbaran sluruh alam....
ramai juga mrk yg ikut tabligh asal usul mat lepak mat botol mat zina mat apa lagilah dah jadi alim.
Tuan Anonymous,
Benarlah seperti apa yang tuan katakan.
Orang-orang lama yang buat usaha agama ini telah banyak berkorban untuk agama, dan tiap-tiap hari bagi masa untuk agama, sehingga keperluan diri telah dikurangkan seminimum mungkin. Sebagai manusia biasa, mereka juga berasa letih, dan kadang-kadang perasaan jemu dan malas boleh saja datang dan pergi dalam diri seseorang. Saya teringat satu hadith yang saya pernah baca secara sekali imbas (mohon rakan-rakan yang mengetahui dapat quotekan hadith tersebut di sini), bilamana Nabi pernah menyatakan mengenai golongan yang sentiasa berada didalam kebenaran yang akan sentiasa wujud sehingga ke akhir zaman. Tiada yang dapat mengalahkan mereka, cuma saja mereka keletihan (mungkin kerana pengorbanan yang banyak dibuat untuk agama.)
Dan majoriti para sahabat bukanlah alim ulama'. Sebilangan kecila sahaja yang merupakan pakar rujuk dalam ilmu seperti tafsir, hadith, qiraat, dan sebagainya. Kebanyakan para sahabat adalah orang awam seperti kita juga. Yang bezanya, iman mereka seperti gunung, amal mereka seperti rahib dimalam hari dan singa disiang hari, hati mereka kosong dari mencintai dunia, kematian lebih mereka cintai dari cairan arak, dan pelbagai hakikat sifat mahmudah lain yang ada pada diri mereka.
Dan benarlah kata tuan, dari rumah-rumah merekalah (yang dulunya hidup dalam jahiliyah), keluarnya anak-anak yang menjadi alim, mufti, muhaddith, mufassir, dan pejuang gama Allah dari kalangan tabiin dan tabiit tabiin.
Dan walaupun tidak dapat jadi alim, dan tidak berkemampuan jadi pelajar agama, sekurang-kurangnya menjadi orang yang mendengar pelajaran agama. Tapi jika ini pun tidak mampu, kita pasti didalam hati pengusaha-pengusaha agama ini, penuh dengan kecintaan dan kasih sayang kepada ketiga-tiga golongan yang disebutkan.
Sebagaimana apa yang berlaku kepada para sahabt, maka itulah juga yang telah dan sedang berlaku ke atas generasi pengusaha agama yang awal dan keturunan mereka.
Subhanallah! Semoga Allah Taala mengurniakan sebaik-baik ganjaran kepada Hadrat Maulana Muhammad Ilyas al-Kandhlawi Rahmatullah alaih kerana telah dipilih oleh-Nya untuk membangunkan semula mutiara kerja agama yang asal ini.
Tuan Ziarah76,
Terima kasih kerana sudi ziarah.
Post a Comment