Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Wednesday, October 19, 2011

Isu Murtad & Usaha Atas Iman

Bismillah. Alhamdulillah, was Solatu was Salamu 'ala Rasulillah.

Didalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini, isu murtad telah banyak diperkatakan. Bahkan jumlah orang-orang yang murtad pun dikatakan semakin bertambah. Ia telah menjadi fenomena yang semakin serius, wabak yang bertambah menular didalam masyarakat, dan kita tidak tahu bagaimana situasi dan keadaan pada masa akan datang.

Murtad adalah satu perkara yang sangat besar. Murtad bermakna keluar dari Islam. Aqidah bukan setakat rosak, malah telah terputus dari individu. Kadar iman bukannya setakat lemah atau nipis, malah telah tercabut dari hati seseorang sehingga ke akar umbinya. Jika tidak kembali mengucap syahadah, tidak memperbaharui aqidah dan iman, dan mati dalam keadaan murtad, maka matinya adalah mati kafir, akan dibangkitkan diakhirat kelak bersama-sama dengan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah Subhanahu wa Taala, tidak akan dapat hatta mencium bau syurga, dan kekal didalam neraka buat selama-lamanya.. Na'uzubillah.

Mengapa murtad boleh terjadi? Apatah lagi apabila ia berlaku dikalangan Melayu/Islam kita yang telah beratus tahun dan berketurunan, telah dididik dan dibesarkan didalam lingkungan masyarakat Islam. Sebabnya kerana kepercayaan dan keyakinan kepada Allah Taala telah luntur, lemah, terhakis hari demi hari, sehingga menjadi semakin nipis dan lemah, dan terus lemah sehingga sampai satu ketika, ia hilang dari hati seseorang. Proses ini mengambil masa, dan penyebab berlakunya hal ini adalah pelbagai. Antaranya ialah kehidupan yang jauh dari agama, amalan kehidupan harian yang dipengaruhi kehidupan selain kehidupan Nabi Sallallahu alaihi wa sallam, perbuatan dosa besar seperti meninggalkan solat dibuat secara berterusan, kurang atau tiadanya didikan agama yang sempurna, kecintaan kepada dunia yang semakin menebal sehingga menjadikan dunia sebagai maksud kehidupan, dipengaruhi dengan ajaran-ajaran batil, dan pelbagai lagi sebab musabab yang lain.

Sebab itulah iman adalah sangat penting untuk dipelihara, dijaga, disemai dan dipupuk agar terus kekal, kuat, menebal dan kembar mekar didalam hati seseorang sehingga menggerakkannya untuk melaksanakan perintah-perintah Allah Taala, menjauhi larangan-Nya dan mengambil cara hidup Baginda Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Sebab itulah usaha atas iman adalah sangat perlu dijalankan. Allah Taala sendiri memerintahkan kepada orang-orang beriman agar beriman, membawa maksud pentingnya menguatkan iman yang sedia ada. Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam sendiri memerintahkan agar iman itu diperbaharui dengan cara memperkatakan 'Laa ilaaha illallah'. Sebab iman itu boleh luntur seperti lunturnya warna pada kain, maka sangat penting untuk iman itu untuk dimantapkan.

Sebab itulah usaha atas iman dijalankan. Sebab itulah usaha dakwah & tabligh yang suci murni ini mengajak agar ummat ini sama-sama berusaha untuk menguatkan iman. Sebab itulah percakapan mengenai kebesaran Allah sangat penting dibuat. Sebab itulah usaha ziarah dari pintu ke pintu, kampung ke kampung, bandar ke bandar, negeri ke negeri dan ke seluruh alam sangat penting dijalankan bagi sesama Islam memperingatkan perihal pentingnya iman dan pentingnya usaha atas iman dijalankan.

Sebab itulah usaha dakwah sesama Islam sangat penting dibuat. Sebab ummat Islam sendiri, lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, rata-rata sangat lemah kadar imannya. Manakala sebilangannya berada di pinggiran pintu kemurtadan, dan segelintir telah pun terkeluar dari Islam dan dengan penuh beraninya mengisytiharkan murtad. Alangkah sedihnya kerana perkara ini berlaku di depan mata kita. Hanya kepada Allah kita mengadu.

Maka tiada lagi alasan yang dapat kita berikan, selain dari sama-sama turut serta didalam usaha memperbaharui iman dan menguatkan iman ini. Atau sekurang-kurangnya, atas kelemahan dan kedhaifan kita, kita memberi sokongan dan galakan kepada rakan-rakan untuk berusaha atas perkara ini, atau paling kurang pun, janganlah kita halang mereka yang hendak berusaha atas perkara ini.

Ya Allah, selamatkanlah iman kami, selamatkanlah iman ummat ini, dan sebarkanlah hidayah-Mu ke seluruh alam. Amin.

Saturday, October 15, 2011

Orang Tabligh Tidak Duduk Majlis Ilmu?

Bismillah, Alhamdulillah, was solatu wassalamu ala Rasulillah.

Telah dibincangkan sebelum ini mengenai bagaimana para alim ulama' dan masyaikh dakwah begitu menekan dan menitikberatkan kepentingan ilmu: mempelajari, mengamal dan menyampaikannya, serta peri pentingnya memuliakan para alim ulama', dan pentingnya kesedaran dikalangan orang awam mengenai kedudukan istimewa para Ulama' disisi Allah, sebagai pewaris para Ambiya' dan sebagai penyambung usaha dan kerisauan baginda Nabi Sallallahu alaihi wa sallam.

http://dakwah-ilallah.blogspot.com/2011/06/jamaah-tabligh-mengabaikan-ilmu.html

Begitu juga, telah menjadi perkara yang diketahui umum didalam usaha dakwah yang suci murni ini, untuk ummat ini yang telah mula berbuat usaha dakwah, untuk mengikrami dan memuliakan para alim ulama' setempat, untuk duduk dan belajar dengan mereka, dan menyertai majlis-majlis yang mereka anjurkan, walaupun ustaz atau alim berkenaan tidak bersama-sama berbuat usaha yang suci murni ini.

Namun, masih ada bunyi-bunyi suara yang mengatakan bahawa 'orang tabligh tidak duduk majlis ilmu di masjid', atau 'bila ustaz mula bukak kitab, mulalah puak tabligh pakat ramai-ramai keluar masjid, duduk nyembang di beranda/serambi masjid', dan seumpamanya.

Pada pandangan saya, pertamanya, kita hendaklah bersangka baik kepada semua orang Islam, termasuklah orang-orang yang berbuat usaha agama. Mungkin atas beberapa maslahat mereka tidak dapat duduk didalam majlis ilmu. Dan kita juga bersangka baik kepada yang berkata-kata seperti diatas, kerana mungkin mereka silap faham, atau atas alasan apa sekalipun, sehingga terkeluar kata-kata sedemikian. Jika masing-masing kita bersangka baik, maka InsyaAllah, apa-apa keburukan atau perpecahan atau permusuhan yang menjadi matlamat iblis dan syaitan, akan dapat dibendung, dengan izin Allah Taala.

Orang-orang yang terlibat dengan usaha dakwah dan tabligh ini, kebanyakannya dan rata-ratanya adalah orang awam. Ada yang memang ahli masjid sejak sebelum bersama-sama dengan usaha yang suci murni ini. Ada yang baru mula berjinak-jinak dengan masjid, dan bahkan ada yang sebelumnya merupakan ahli maksiat yang berniat dan berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah Taala. Ada yang baru, dan ada yang lama. Ada berilmu, dan ada yang baru belajar. Maka atas kepelbagaian ini, kita kena memahami mengapa dan bagaimana reaksi yang dapat atau mampu mereka buat jika berhadapan dengan keadaan seperti dibawah:

1. Apabila ustaz yang mengajar mula 'menyerang' dan mengatakan sesuatu yang kurang menyenangkan mengenai usaha dakwah dan tabligh ini.

Kadang-kadang, ada kebenaran didalam apa yang diutarakan oleh para ustaz yang berkenaan. Insyaallah, jika disampaikan teguran dengan kasih sayang dan lemah lembut, tentunya orang-orang yang belajar usaha agama ini akan menerimanya. Sebab usaha agama ini bergerak dengan kasih sayang dan kecintaan sesama ummat, dengan penuh rendah diri dan menafikan kepentingan diri, dengan memuliakan sesama Islam menurut darjat keimanan masing-masing, dan usaha atas hati-hati manusia. Nasihat yang lembut, InsyaAllah akan dapat meresap ke dalam hati, dan dinilai oleh akal yang sihat.

Namun, jika 'diserang' dengan hujah-hujah dengan cara seolah-olah hendak memperlekeh, merendah-rendahkan dan memalukan, bukan saja 'orang tabligh', malah siapa saja yang diperlakukan demikian, pastinya akan mengambil sikap 'defensive', bersikap kritikal atas ucapan 'keras' yang dilontarkan, dan dalam keadaan hati terpaksa 'disabarkan' atas 'kepanasan' ucapan tersebut, bagaimana mungkin nasihat para ustaz dapat difahami dan diambil pengajaran bagi perbaikan masa depan?

Dan sifat bangsa melayu kita, yang mudah terasa hati, juga dirasakan oleh pengusaha agama ini. Jika tiap-tiap kali ceramah diadakan, 'serangan' terhadap usaha dan pengusaha agama dibuat, maka sampai masanya, kesabaran mencapai hadnya. Maka segelintir akan berasa sukar untuk menerima kritikan pedas ini, lantas bertindak keluar dari majlis. Alangkah sedihnya kerana berlaku perkara yang sepatutnya tidak berlaku.
Alangkah baiknya jika para ustaz bermuzakarah dengan alim ulama' yang bersama -sama dengan usaha dakwah ini, agar yang tersimpul dapat dileraikan, yang kusut dapat dilicinkan, yang gelap dapat diterangkan, yang kabur dapat dijelaskan. Kebanyakan hujah keras yang dikemukakan hanyalah isu titik bingik, ranting atau furu' agama yang kebanyakannya telah dijelaskan didalam blog ini. Serangan hujah secara keras terhadap golongan awam didalam usaha dakwah ini tidak akan membuahkan hasil yang baik, kerana latar belakang mereka yang tidak difahami oleh si penceramah.

Nabi Sallallahu alaihi wa sallam telah mengajar kita bagaimana cara menegur kesalahan-kesalahan individu atau golongan didalam majlis baginda yang mulia. Teguran baginda penuh dengan kasih-sayang, tidak memalukan sesiapa, dan membuahkan hasil yang sangat baik ke atas orang yang ditegur. Alangkah baiknya jika kita sama-sama dapat mengamalkan perkara ini.

2. Apabila isu perbezaan perjuangan usaha atas agama dimainkan

Inilah yang kerap berlaku di nusantara, apabila ustaz dari gerakan A atau pertubuhan B atau parti C mula menimbulkan isu 'mengapa usaha tabligh tidak begini dan begitu? tidak buat ini dan itu? tidak terlibat dengan aktiviti sekian sekian' dan seumpamanya.

Perkara ini sepatutnya telah lama reda dan tidak perlu diungkitkan. Ia seperti membangkitkan persoalan perbezaan pendapat didalam mazhab, berlainan pandangan didalam bacaan qiraat dan seumpamanya. Jika mazhab feqh yang empat diterima dan kesemuanya betul, dan jika berlainan guru didalam thariqah juga dapat diterima, maka mengapakah perbezaan cara didalam mengusahakan kembali agar agama ini dapat di bangunkan semula sepertimana tahap yang ditinggalkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, perlu dipersoalkan?

Ini adalah termasuk didalam perkara yang diijtihadkan oleh para alim ulama' zaman ini. Dan perkara yang diijtihadkan oleh Ulama' bermakna semuanya diterima kerana pandangan mujtahid tidak membatalkan pandangan mujtahid yang lain. Semuanya memperoleh ganjaran disisi Allah Taala, sama ada ijtihadnya baik atau lebih baik. Ini kerana masing-masing telah mengerahkan seluruh tenaga dan mencurahkan seluruh masa dan kemampuan didalam mengeluarkan ijtihad tersebut.

Maka didalam perkara perbezaan pendapat ini, kadang-kadang ustaz yang berceramah itu cenderung untuk memenangkan fahamannya dan menolak mentah-mentah pandangan alim ulama' dakwah. Tentunya pengusaha agama akan bersedih hati dan mana-mana yang tidak tahan, akan keluar meninggalkan majlis. Alangkah sedihnya kerana perkara yang boleh dielakkan telah berlaku.

3. Apabila isu bid'ah membid'ahkan dibangkitkan

Dewasa ini, ada angkatan ilmuwan Islam yang suka membid'ahkan pandangan yang tidak sealiran dengan mereka. Bid'ah pula, tanpa kecuali dan pukul rata, dikaitkan dengan kesesatan, dan kesesatan membawa ke neraka. Sesetengah perkara yang telah menjadi ijma' ulama' sejak ratusan tahun telah dipandang lekeh, hadith-hadith sahih telah didhaif dan di'mungkar'kan, isu khilafiyyah dibesar-besarkan seolah-olah menjadi isu aqidah, amalan kebiasaan masyarakat yang tidak bersalahan disisi syariat telah di momok-momokkan, dan pelbagai lagi yang seumpamanya.

Alim ulama' haq, orang-orang berilmu dan berakal waras kenal dengan golongan ekstrim ini. Mereka menasihati orang awam agar berhati-hati dengan golongan ini, kerana golongan ini akan menimbulkan keragu-raguan dan kecelaruan didalam kefahaman agama. Maka alim ulama' haq menganjurkan agar, bagi mengelak kekeliruan didalam ilmu dan amalan agama, hendaklah dijauhi majlis-majlis golongan yang suka membid'ahkan sesama Islam ini. Dan nasihat ini dituruti oleh sebahagian yang memahami, termasuklah segolongan pengusaha agama yang suci murni ini yang tahu duduk perkara sebenar. Namun bagi golongan awam lain yang tidak faham, mereka nampak seolah-olah 'orang tabligh tak duduk majlis ilmu'.
Maka diharapkan agar alim ulama haq, yang walaupun tidak turut serta didalam usaha dakwah ini, memahami situasi yang dimaksudkan.

Ini hanyalah pandangan peribadi saya yang mungkin ada salah silap dan cacat celanya. Jika ada yang baik, maka ambillah. Jika ada yang salah, maka tegurlah saya dan perbetulkanlah. Niat saya cuma untuk menyatakan yang pengusaha agama ini mencintai ilmu dan alim ulama' dan majlis-majlis ilmu, dan mereka berusaha ke arah itu.

Wallahu a'lam.

Friday, October 14, 2011

Solat Mencegah Kemungkaran (II)

Tafsir Maarif al-Qur'an bagi Surah al-Ankabut, ayat 45: 'Sesungguhnya Solat itu mencegah dari perbuatan Fahsya' dan Mungkar' boleh dirujuk di sini

http://www.islamibayanaat.com/MQ/English-MaarifulQuran-MuftiShafiUsmaniRA-Vol-6-IntroAndPage-0-780-End.pdf

muka surat 697-700.

Ini bagi menguatkan lagi perbincangan didalam entry 'Solat Mencegah Kemungkaran' sebelum ini.

Solat Mencegah Kemungkaran

Solat Mencegah Kemungkaran


Hadhrat Imraan bin Husain (Radhoallahu anhu) berkata, seseorang telah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam tentang makna ayat al-Qur’an: “Sesungguhnya Solat mencegah dari Fahsya’ dan Mungkar” (Surah 29, ayat 45)

Baginda menjawab, “Salat bukanlah solat jika ia tidak mencegah seseorang dari fahsya’ dan mungkar.”

Tanpa ragu-ragu, solat adalah amalan yang sangat berharga dan apabila dikerjakan secara sempurna, memberi kesan didalam memelihara dari segala keburukan. Jika kesan ini tidak dicapai, bermakna sesuatu yang terkurang didalam perlaksanaan solat yang sempurna. Banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna ini. Hadhrat Ibn Abbas Radhiallahu anhu berkata, “Solat mempunyai kekuatan untuk mencegah dari kecenderungan ke arah dosa.”

Hadhrat Abu Aaliyah Radhiallahu anhu, didalam menerangkan ayat yang sama telah menulis: ‘Terdapat tiga perkara pokok mengenai solat: Keikhlasan, takut kepada Allah, dan peringatan dari-Nya. Solat bukanlah solat jika ketiga-tiga perkara ini hilang. Keikhlasan membawa kepada amal soleh, takut kepada Allah menolak keburukan, dan peringatan dari-Nya adalah al-Qur’an, dimana didalamnya adalah petunjuk kepada kebaikan dan penjaga kepada kejahatan.”

Hadhrat Ibn Abbas Radhiallahu anhu melaporkan bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam bersabda, “Solat yang tidak menghalang daripada fahsya’ dan mungkar, dari membawa hampir kepada Allah, (bahkan) membawa jauh dari-Nya.”

Hadhrat Ibn Mas’ood Radhiallahu anhu meriwayatkan bahawa beliau mendengar Nabi Sallallahu alaihi wa sallam pernah bersabda. “Seseorang yang tidak menuruti solatnya, sebenarnya tidak mengerjakan solat. Menuruti solatnya bermaksud mengelak dari perbuatan fahsya’ dan mungkar.”

Hadhrat Abu Hurairah Radhiallahu anhu meriwayatkan, “ Seorang telah datang kepada Nabi Sallallahu alaihi wa sallam dan melaporkan mengenai si fulan, yang mana kebiasaannya dia mengerjakan solat seluruh malam dan kemudiannya mencuri pada siang hari. Nabi Sallallahu alaihi wa sallam bersabda, “Solatnya tidak lama lagi akan mencegah dia dari perbuatan dosa tersebut.’ Ini menunjukkan amalan buruk boleh disingkirkan dengan mengerjakan solat dengan penuh ikhlas. Adalah susah dan urusan yang berpanjangan untuk menukar tiap-tiap satu perangai buruk. Akan tetapi, adalah lebih mudah dan cepat untuk mula mengerjakan solat dengan baik dan melalui keberkatan yang mengikutinya, perangai buruk pastinya akan hilang satu demi satu. Semoga Allah mengurniakanku kekuatan untuk mengerjakan solat dengan sempurna!



[Terjemahan bebas* dari Himpunan Fadhoil A’mal, Kitab Fadhilat Solah, Bahagian III: Kepentingan keikhlasan dan khusyu’ dalam solat, Bab III, Hadith VII. Karangan Qutbul Aqtab, Syaikhul Hadith, Ra’isul Muhaddithin Allamah, Hadhrat Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhlawi Rahmatullah alaih]

Nota:
*Terjemahan bebas di sini bermaksud terjemahan dari teks yang dirujuk secara makna paling hampir setakat pengetahuan penterjemah. Ia hendaklah dirujuk semula kepada teks asal bagi mengelak sebarang kesilapan atau kekeliruan.)
Untuk tujuan penyebaran, hendaklah digunakan terjemahan didalam kitab Fadhoil Amaal terbitan Era Ilmu kerana ia telah di tahqiq dan disemak secara sempurna oleh pakar penterjemah. Terjemahan diatas sekadar untuk bacaan secara umum dan kefahaman secara menyeluruh sahaja.

Wednesday, October 5, 2011

Usaha dakwah & mencegah kemungkaran

Bismillah, Alhamdulillah, wassolatu wassalamu ala Rasulillah.

Alim Ulama' dakwah menekankan agar ummat ini sentiasa memuzakarah, membincang, mengamal dan menyampaikan enam perkara sehingga ia menjadi sebati dalam jiwa dan terbentuk hakikat sifat-sifat tersebut didalam hati. Jika dilihat dari sudut amar makruf, maka enam perkara adalah kemakrufan yang paling asas yang perlu diusahakan oleh ummat ini. Jika dilihat dari segi mencegah kemungkaran pula, enam perkara inilah yang mencegah dari kemungkaran dan kebatilan yang paling besar yang menimpa dan melanda ummat pada zaman ini.

Ummat di akhir zaman ini begitu lemah imannya, sehingga ada yang berani mengisytihar keluar dari Islam, Na'uzubillah. Gejala murtad telah melanda ummat ini dengan begitu teruk sekali. Apatah lagi kerosakan aqidah akibat keyakinan yang rosak kepada selain dari Allah, telah begitu menular di kalangan ummat. Apakah kemungkaran yang lebih dahsyat selain dari dosa syirik dan kufur terhadap Allah?

Sebab itulah usaha atas iman dan keyakinan kepada maksud kalimah 'Laa ilaaha illallah' perlu di usahakan dengan bersungguh-sungguh. Agar tahap iman didalam ummat ini dapat ditingkatkan, dikuatkan, diteguhkan dan di mantapkan didalam hati setiap orang Islam. Bahkan orang-orang beriman pun diperintahkan oleh Allah agar (menguatkan) iman masing-masing.

Kemungkaran besar yang lain yang memesongkan ummat ialah cara kehidupan yang menuruti dan menyerupai kehidupan selain dari kehidupan Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Kehidupan yang menurut hawa nafsu, menyerupai Majusi, Yahudi, Nasrani, dan kehidupan kemungkaran yang lainnya yang ada pada akhir zaman ini, yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah dan kesesatan. Sedangkan Allah akan membangkitkan manusia mengikut golongan yang ditirunya.

Maka Alim Ulama' telah menekankan kepentingan mengamalkan kehidupan Sunnah Nabi Sallallahu alaihi wa sallam yang dikasihi dan dicintai. Kerana barangsiapa yang mengamalkan Sunnah Nabi, maka bererti dia mencintai Nabi. Dan barangsiapa yang mencintai Nabi, dia akan bersama-sama dengan Nabi di syurga kelak. Dan Sunnah Nabi Sallallahu alaihi wa sallam yang terbesar ialah mengajak manusia kepada Allah; inilah satu-satunya jalan Baginda, inilah sebab baginda diutuskan, untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Kemungkaran besar yang seterusnya yang menimpa ummat ialah meninggalkan solat. Meninggalkan solat, bererti meruntuhkan agama dan berdosa besar. Bahkan jika dosa besar dilakukan berterusan, maka iman boleh tergelincir. Sebabnya meninggalkan solat dikaitkan dengan kufur dan syirik. Sungguh menyedihkan, ramai lagi orang Islam meninggalkan solat demi solat.

Maka seruan terhadap melaksana dan menyempurkan solat adalah vital dan sangat perlu dibuat ke atas setiap lapisan ummat. Apakah lagi amalan didalam Islam yang lebih utama dari solat, yang pertama-tama akan ditanya di padang mahsyar nanti?

Kemungkaran lain ialah jahil terhadap agama. Ilmu agama tidak diendahkan, dan alim ulama' diperlekeh dan direndah-rendahkan. Pelajar-pelajar agama dianggap tidak ada masa depan, dan keutamaan sepenuhnya hanya diberi untuk pengetahuan duniawi semata-mata. Alangkah bahayanya situasi ini.

Maka sebab itulah ilmu diberi penekanan didalam usaha dakwah yang suci murni ini. Keutamaan alim ulama' dan kepentingan mewujudkan golongan ini diberi penekanan, kerana merekalah pewaris para Nabi. Ilmu Fadhoil dibincangkan lagi dan lagi agar keghairahan dan 'ihtisab' didalam hati ummat terhadap janji-janji Allah dan Rasul akan meresap ke dalam hati dan menjadi sumber kekuatan buat mengamalkan agama.

Keresahan, kegelisahan, kerancuan, kebingungan dan kebimbangan didalam hati  adalah akibat melupakan Allah Taala. Pelbagai penyakit hati juga telah menjadi virus dan bersarang dan merebak didalam hati ummat. Ini kerana dosa-dosa yang dilakukan, sehingga hati menjadi gelap, sifat-sifat mazmumah kian membiak, cinta dunia dan takut mati melanda ummat. Ubatnya hanyalah dengan mengingati Allah, kerana hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang, nur akan menerangkan kegelapan hati, istighfar akan menghilangkan karat dosa di hati, dan hati akan memantulkan cahaya zikir yang menyinar dan bercahaya, sehingga mendatangkan ketenangan dan sakinah, mendatangkan sifat sifat mahmudah dan mencenderungkan hamba-hamba-Nya kepada ketaatan kepada-Nya. Maka amalan zikir dan doa Nabi dan para sahabat dibentangkan semula kepada ummat ini agar ia dapat diamalkan didalam kehidupan.

Kemungkaran lainnya ialah perpecahan ummat, pergaduhan dan persengketaan sesama Islam, bahkan saling membenci, bermusuhan dan akhirnya pertumpahan darah, pembunuhan dan peperangan. Maka alim Ulama' menyeru agar ummat ini mengusahakan agar wujud sifat memuliakan sesama Islam, saling kasih mengasihi, sayang menyayangi dan saling mencintai atas satu kalimah dan sifat persaudaraan sesama Islam. Islamlah yang menyatukan Aus dan Khazraj, Muhajirin dan Ansar, Arab dan Ajam. Semuanya sama dari Adam; yang terbaik ialah yang paling bertaqwa kepada Allah.

Kemungkaran seterusnya yang melanda ummat ialah beramal kerana selain dari Allah. Kerana pangkat, harta, kedudukan, nama, pujian, sanjungan dan pelbagai lagi niat yang batil. Semuanya tertolak disisi Allah. Moga Allah ampunkan kita. Maka alim ulama' menghendaki agar kita sentiasa memeriksa dan membetulkan niat, didalam mentaati Allah dan menjauhi larangan-Nya, semuanya semata-mata kerana-Nya.

Dan yang menjadikan ummat menjadi begitu lemah pada zaman ini, yang kelemahannya tidak pernah berlaku sedemikian rupa pada zaman sebelumnya, adalah kerana ummat ini meninggalkan mutiara kerja kenabian, kerja yang menjadikan ummat ini ummat yang terbaik. Maka alim ulama' menyeru agar ummat ini kembali kepada amalan Nabi, para sahabat dan salafussoleh yang terunggul ini. Mereka yang terdahulu telah mengorbankan seluruh harta, masa, diri bahkan nyawa untuk agama Allah Taala ini. Mereka telah bertebaran di seluruh penjuru alam bagi menyebarkan risalah Tauhid. Kubur-kubur mereka ada di serata pelusuk dunia. Kitalah ummat akhir zaman yang mewarisi kerja dan tanggungjawab dan kemuliaan ini. Apakah kita sanggup melihat agama ini jatuh dan dihina, sedangkan kita masih hidup?

Semoga Allah memilih saya dan tuan-tuan untuk sama-sama bangkit untuk menyambung usaha agama yang suci murni ini, dengan sedia mengorbankan sedikit kesenangan di dunia ini, bagi melaksanakan dakwah Ilallah dan tanggung jawab amar makruf nahi mungkar.

Maka bagaimanakah boleh dikatakan yang usaha dakwah dan tabligh ini tidak mencegah kemungkaran???