Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Sunday, December 23, 2012

Keutamaan Para Alim Ulama'


Para Ulama' ialah pewaris para Ambiya'. Para Ulama'lah yang menggunakan seluruh kehidupan mereka mempelajari firman Allah dan sabdaan Rasul-Nya, menghafalnya ke dalam dada-dada mereka, mencatit dan merekodkannya ke dalam kitab-kitab, menjaga dan memeliharanya, mentafsir dan mensyarahkannya, mengajar dan menyebarluaskannya kepada seluruh manusia di seluruh penjuru alam dengan metodologi sanad yang begitu kukuh dan otentik sehingga keasliannya terjaga dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini. Dan Insya Allah, perkara ini akan kekal sehingga kiamat, Amin.
Para Alim Ulama'lah yang berusaha memelihara Islam dan mempertahankannya dengan ilmu-ilmu alat dan usul yang begitu utuh dan mantap sehingga mustahil untuk ditembusi oleh musuh-musuh Islam. Pada zaman para sahabat, Alim Ulama' telah membukukan al-Qur'an dan memeliharanya dari ditokok tambah oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Pada zaman tabiin dan tabiit tabiin, ilmu fiqh dan usul fiqh telah dikembangkan oleh para Imam Mujtahid bagi manfaat ummat, terutama didalam kaedah menggali hukum dari Qur'an dan Sunnah. Pada zaman berikutnya, telah bangun para Imam hadith bagi merekod dan mengkodifikasikan hadith-hadith dan menilainya bersesuaian dengan darjah riwayah dan dirayahnya, serta mengasingkan hadith-hadith yang palsu yang diwujudkan oleh golongan berkepentingan. Datang pula satu zaman bilamana fahaman falsafah telah menyerap masuk ke dalam segolongan ummat Islam, maka bangkit pula para Ulama' Aqidah mempertahankan Islam dengan menyusun ilmu tauhid dengan begitu mantap sehingga tewas dan musnah segala para pendokong faham kesesatan. Begitulah kehendak Allah Taala, agama ini telah dipelihara oleh-Nya dari zaman berzaman melalui perantaran para pewaris nabi-nabi-Nya.
Musuh-musuh Islam telah mencuba dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menghapus dan memusnahkan Islam, dengan menghancurkan keilmuannya dan para Ulama'nya, namun usaha ini sentiasa menemui kegagalan. Kerana dalam setiap zaman, Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, Yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa, sentiasa membangkitkan angkatan Ulama' yang ikhlas didalam menjalankan tugas memelihara warisan keilmuan Islam ini. Didalam mempertahankan Islam dan ilmu Islam, mereka sanggup menanggung pelbagai kesulitan dan susah-payah, fitnah dan cercaan dari para pemfitnah dan golongan yang bencikan Islam. Bahkan berapa ramai dikalangan alim Ulama' haq yang ditangkap, dipenjara, disiksa dan disyahidkan kerana mempertahankan Islam dan kefahaman Islam yang sebenar.
Maka tanggungjawab kitalah selaku ummat akhir zaman ini, untuk sentiasa berusaha mewujudkan golongan Ulama' haq yang bersedia menggunakan ilmu, tenaga, harta, dan bahkan nyawa mereka didalam usaha meninggikan Islam dan syiar-nya. Tanggungjawab kitalah untuk memuliakan para alim ulama' yang haq kerana inilah yang diwasiatkan oleh kekasih kita junjungan besar Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Dan tanggungjawab kitalah untuk membantu para alim ulama', dalam bentuk tenaga dan fikiran dan kewangan dan sokongan fizikal mahupun moral, dan membela mereka dari dicaci atau difitnah atau dihina oleh musuh-musuh Islam.
Adalah sangat tidak adil jika ada orang menyamakan pendeta yahudi atau nasrani dengan para alim ulama' haq, sedangkan rata-rata para pendeta itu telah mengubah firman-firman Allah didalam kitab-kitab Taurat dan Injil atas kepentingan hawa nafsu mereka. Memang ada sebahagian kecil dari para pendeta ini yang ikhlas sehingga beriman kepada Nabi Sallalahu alaihi wa sallam ketika sampai berita kenabian kepada mereka, namun golongan kecil ini ramai yang telah ditindas dan bahkan turut dibunuh oleh masyarakat awam Kristian dan Yahudi yang membenci Islam pada zaman itu. Ringkasnya, alim Ulama' haq tidaklah sama dengan para pendeta yang dimurkai dan sesat itu, kerana Alim Ulama' haq memelihara ilmu agama ini dengan nyawa mereka, tetapi segolongan besar pendeta-pendeta jahat ini pula menyesuaikan agama menurut hawa nafsu serakah mereka.
Juga sangat salah jika ada orang (apatah lagi golongan awam) yang memandang rendah terhadap alim ulama' haq yang tidak menjalankan dakwah dari pintu ke pintu, kerana beranggapan bahawa jika tidak berbuat seperti ini, maka mereka (alim ulama') telah meninggalkan Sunnah Nabi atau alasan seumpamanya. Sedangkan kita tidak memahami dan mengetahui tanggungjawab khusus yang dipikul oleh setiap alim' ulama' didalam jurusan pengkhususan mereka masing-masing. Ada dikalangan mereka yang bertanggungjawab didalam berhadapan dengan golongan sesat, maka mereka perlu menghabiskan masa yang banyak didalam meneliti dan mentelaah dan menyelidik kitab-kitab bagi mematahkan hujah-hujah golongan sesat ini, dan ini memerlukan lapangan yang begitu khusus dan terperinci. Ada yang terlibat didalam bidang penulisan dan pengajaran tafsir, syarah hadith, zikir dan islah, dan pelbagai lagi cabangan Islam yang memerlukan pengkhususan dan perincian yang hanya boleh dilaksanakan oleh mereka. Perkara ini telahpun dijelaskan oleh para Ulama’ dakwah sendiri didalam pesanan-pesanan mereka kepada para pekerja dakwah dan tabligh.
Bahkan ada pula yang mengkritik para Ulama’ dakwah atas landasan hujah yang tidak berasas, dengan mengatakan yang ulama’ dakwah hanya membuat ceramah dan bayan umum di markas-markas dakwah dan tidak turun ke padang dengan melaksanakan dakwah dari pintu ke pintu. Tidakkah kita melihat sejarah, yang Nabi Sallallahu alaihi wa sallam pun, pada satu peringkat didalam kehidupan baginda, banyak menghabiskan masa didalam Masjid Nabawi yang merupakan markas dakwah utama Islam pada masa itu (jika dibandingkan dengan usaha Baginda semasa period dakwah di Mekah)? Mengapa ini berlaku? Ini kerana keadaan pada masa itu yang memerlukan para penanggungjawab agama berada di pusat dakwah bagi memenuhi tanggungjawab, misalnya menerima kehadiran tetamu dari luar yang tidak putus-putus mengunjungi Madinah bagi menyatakan keislaman dan berbai’ah dengan Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Juga tanggungjawab menerima laporan dakwah dari Jemaah-jemaah dakwah  yang baru tangguh dari keluar dijalan Allah, bermesyuarat dengan ahli-ahli syura dan membuat keputusan bagi urusan jemaah-jemaah yang seterusnya, dan pelbagai urusan pentadbiran yang lain. Ini sangat mudah difahami walaupun oleh mereka yang terlibat dengan sistem pentadbiran keduniaan seperti perniagaan dan politik. Apatah lagi urusan pentadbiran  bagi kerja dakwah yang menjadi sebab para Nabi dihantar.

Semoga Allah memelihara hati, lidah dan tingkah laku kita dari mengkritik dan mencari-cari kesalahan para Ulama’ haq’, apatah lagi mencerca dan mencela mereka dan memusuhi mereka, kerana perbuatan ini hanyalah menjadi sebab kehancuran dan kemusnahan kita sendiri.

Dan semoga Allah membangkit dan meningkatkan lagi golongan Ulama’ haq dikalangan ummat ini dari segi kuantiti dan kualiti, terutama pada akhir zaman yang penuh dengan kefasadan dan kemungkaran ini. Sehingga melalui mereka, sinar agama ini akan memancar semula dengan lebih terang, menerangi alam maya pada ini dengan cahaya kebenaran, dipenuhi dengan nur dari firman Allah dan Rasul-Nya, sehingga menembusi setiap hati-hati manusia bagi menerima taufiq dan hidayah dari Allah Taala yang Maha Perkasa, Amin.

No comments: