Tulisan ini ditujukan khasnya buat adik-adik yang sedang belajar dan sedang bersemangat untuk keluar di jalan Allah, terutama di IPB setelah tamat belajar nanti. Semoga bermanfaat.
***
Ibu bapa mana yang tak menyayangi anak-anak mereka. Semuanya mahukan anak-anak mereka berjaya - dalam pelajaran, dalam kerjaya, dalam kehidupan. Cumanya kadang-kadang ada ibu bapa yang terlepas pandang akan kejayaan yang sebenarnya, yang Allah Taala letakkan dalam agama.
Ada anak-anak yang belajar di menara gading yang mula berjinak-jinak dengan usaha dakwah yang suci murni ini, menyedari akan perihal kepentingan agama dan usaha agama. Namun mereka tidak nampak jalan bagaimana untuk meyakinkan ibu bapa mereka agar mengizinkan mereka keluar 4 bulan di jalan Allah, apatah lagi ke luar negara seperti di India, Pakistan dan Bangladesh.
Dalam hal ini, sebaik-baiknya kita mendengar nasihat elders, agar sentiasa berkhidmat untuk orang tua kita. Dan jangan lupa mendoakan mereka selepas tiap kali solat fardhu dan sunnat. Doa keampunan untuk mereka, dan semoga Allah sentiasa melindungi dan memelihara mereka.
Memang susah untuk kita menjelaskan maksud kita keluar ke jalan Allah kepada mereka, kerana seolah-olah seperti kita hendak mengajar mereka agama pulak. Maka satu cara lain yang boleh kita gunakan, ialah dengan menjelaskan kepada mereka perihal manfaat duniawi yang akan kita peroleh melalui 'pengembaraan' 4 bulan ini. 'Fadhilat' dunia ini mungkin lebih mudah untuk mereka fahami dan hadam.
Diantaranya:
1. Untuk meluaskan pandangan dan pengalaman hidup kita di negara luar buat beberapa ketika
2. Untuk kita melihat kehidupan manusia khususnya masyarakat Islam di negara Islam seperti Pakistan dan Bangladesh, dan bagaimana mereka menjalankan kehidupan sebagai orang Islam walaupun didalam penuh kesederhaan dari aspek material.
3. Untuk kita lihat bagaimana ummat Islam yang minoriti dapat menjalankan kehidupan beragama di negara seperti di India.
4. Sebagai hadiah untuk kita kerana telah berjaya menamatkan pelajaran dengan cemerlang (Jadi kena pastikan dapat 1st class atau cemerlang dalam pelajaran, dengan niat untuk memudahkan kita dapat keluar ke jalan Allah)
5. Orang-orang muda di barat biasa mengembara ke seluruh dunia setelah tamat pelajaran. Kadang-kadang sampai setahun, kemudin barulah mereka mula bekerja. Jadi kalau orang barat menghabiskan masa pergi mengembara ke gunung, bukit, sungai, gua, pasar-pasar dan sebagainya, mengapa kita disekat dari mengembara dengan tujuan dan cara yang jauh lebih mulia dan murni?
6. Kita keluar tanpa perlu menyusahkan mereka dari segi kewangan (Maka pastikan kita menabung duit sedikit demi sedikit dari sekarang. Tekankan nafsu untuk membeli barang yang bukan keperluan, sebaliknya duit dikumpul untuk tujuan keluar ke jalan Allah. Setiap sen akan mendapat ganjaran Insyaallah. Dan elakkan dari berhutang kerana ini akan menjadi kekangan semasa hendak keluar nanti. Pastikan juga wang mencukupi untuk membuat pasport dan visa).
7. Kita sudah tidak berpeluang untuk menjadi ustaz, alim dan hafiz. Tak berpeluang untuk belajar di pondok dan madrasah. Tak sempat mengaji di Darul Ulum Deoband, Universiti al-Azhar atau Pesantren Kiyai Uzairon. Maka inilah peluang selama 4 bulan, sekurang-kurangnya untuk bergaul dengan para alim ulama' yang menghabiskan masa kehidupan mereka untuk agama, merasai kehidupan di 'madrasah bergerak', peluang untuk memperbaiki bacaan Qu'ran melalui halaqah tajwid harian, peluang untuk mengamalkan solat sunnat dan menghafal zikir dan doa-doa masnun.
8. Aktiviti 'rehlah dakwah' ini akan menjadi benteng buat bekalan semasa dunia pekerjaan nanti, dari kita terjerumus dalam aktiviti kemungkaran atau kesesatan.
9. Keluar 4 bulan ini adalah sebagai period yang memberi peluang untuk kita merehatkan fikiran dan emosi setelah tenggelam didalam dunia pelajaran selama belasan tahun. Juga sebagai period buat kita merancang masa depan kita di alam pekerjaan dan alam perkahwinan.
10. Keluar 4 bulan ini adalah sebagai persediaan untuk kita memikul tanggungjawab sebagai pemuda, seorang dewasa, dan seorang yang akan memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara [sebenarnya persediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai hamba Allah, ummat Nabi dan pewaris al-Qur'an]
Semoga Allah mengumpulkan kita bersama ibu bapa kita dan mereka yang kita kasihi di Syurga Firdhaus kelak, dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, amin.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment