Bismillah, Alhamdulillah, wassolatu wassalamu ala Rasulillah.
Alim Ulama' dakwah menekankan agar ummat ini sentiasa memuzakarah, membincang, mengamal dan menyampaikan enam perkara sehingga ia menjadi sebati dalam jiwa dan terbentuk hakikat sifat-sifat tersebut didalam hati. Jika dilihat dari sudut amar makruf, maka enam perkara adalah kemakrufan yang paling asas yang perlu diusahakan oleh ummat ini. Jika dilihat dari segi mencegah kemungkaran pula, enam perkara inilah yang mencegah dari kemungkaran dan kebatilan yang paling besar yang menimpa dan melanda ummat pada zaman ini.
Ummat di akhir zaman ini begitu lemah imannya, sehingga ada yang berani mengisytihar keluar dari Islam, Na'uzubillah. Gejala murtad telah melanda ummat ini dengan begitu teruk sekali. Apatah lagi kerosakan aqidah akibat keyakinan yang rosak kepada selain dari Allah, telah begitu menular di kalangan ummat. Apakah kemungkaran yang lebih dahsyat selain dari dosa syirik dan kufur terhadap Allah?
Sebab itulah usaha atas iman dan keyakinan kepada maksud kalimah 'Laa ilaaha illallah' perlu di usahakan dengan bersungguh-sungguh. Agar tahap iman didalam ummat ini dapat ditingkatkan, dikuatkan, diteguhkan dan di mantapkan didalam hati setiap orang Islam. Bahkan orang-orang beriman pun diperintahkan oleh Allah agar (menguatkan) iman masing-masing.
Kemungkaran besar yang lain yang memesongkan ummat ialah cara kehidupan yang menuruti dan menyerupai kehidupan selain dari kehidupan Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Kehidupan yang menurut hawa nafsu, menyerupai Majusi, Yahudi, Nasrani, dan kehidupan kemungkaran yang lainnya yang ada pada akhir zaman ini, yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah dan kesesatan. Sedangkan Allah akan membangkitkan manusia mengikut golongan yang ditirunya.
Maka Alim Ulama' telah menekankan kepentingan mengamalkan kehidupan Sunnah Nabi Sallallahu alaihi wa sallam yang dikasihi dan dicintai. Kerana barangsiapa yang mengamalkan Sunnah Nabi, maka bererti dia mencintai Nabi. Dan barangsiapa yang mencintai Nabi, dia akan bersama-sama dengan Nabi di syurga kelak. Dan Sunnah Nabi Sallallahu alaihi wa sallam yang terbesar ialah mengajak manusia kepada Allah; inilah satu-satunya jalan Baginda, inilah sebab baginda diutuskan, untuk membawa rahmat ke seluruh alam.
Kemungkaran besar yang seterusnya yang menimpa ummat ialah meninggalkan solat. Meninggalkan solat, bererti meruntuhkan agama dan berdosa besar. Bahkan jika dosa besar dilakukan berterusan, maka iman boleh tergelincir. Sebabnya meninggalkan solat dikaitkan dengan kufur dan syirik. Sungguh menyedihkan, ramai lagi orang Islam meninggalkan solat demi solat.
Maka seruan terhadap melaksana dan menyempurkan solat adalah vital dan sangat perlu dibuat ke atas setiap lapisan ummat. Apakah lagi amalan didalam Islam yang lebih utama dari solat, yang pertama-tama akan ditanya di padang mahsyar nanti?
Kemungkaran lain ialah jahil terhadap agama. Ilmu agama tidak diendahkan, dan alim ulama' diperlekeh dan direndah-rendahkan. Pelajar-pelajar agama dianggap tidak ada masa depan, dan keutamaan sepenuhnya hanya diberi untuk pengetahuan duniawi semata-mata. Alangkah bahayanya situasi ini.
Maka sebab itulah ilmu diberi penekanan didalam usaha dakwah yang suci murni ini. Keutamaan alim ulama' dan kepentingan mewujudkan golongan ini diberi penekanan, kerana merekalah pewaris para Nabi. Ilmu Fadhoil dibincangkan lagi dan lagi agar keghairahan dan 'ihtisab' didalam hati ummat terhadap janji-janji Allah dan Rasul akan meresap ke dalam hati dan menjadi sumber kekuatan buat mengamalkan agama.
Keresahan, kegelisahan, kerancuan, kebingungan dan kebimbangan didalam hati adalah akibat melupakan Allah Taala. Pelbagai penyakit hati juga telah menjadi virus dan bersarang dan merebak didalam hati ummat. Ini kerana dosa-dosa yang dilakukan, sehingga hati menjadi gelap, sifat-sifat mazmumah kian membiak, cinta dunia dan takut mati melanda ummat. Ubatnya hanyalah dengan mengingati Allah, kerana hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang, nur akan menerangkan kegelapan hati, istighfar akan menghilangkan karat dosa di hati, dan hati akan memantulkan cahaya zikir yang menyinar dan bercahaya, sehingga mendatangkan ketenangan dan sakinah, mendatangkan sifat sifat mahmudah dan mencenderungkan hamba-hamba-Nya kepada ketaatan kepada-Nya. Maka amalan zikir dan doa Nabi dan para sahabat dibentangkan semula kepada ummat ini agar ia dapat diamalkan didalam kehidupan.
Kemungkaran lainnya ialah perpecahan ummat, pergaduhan dan persengketaan sesama Islam, bahkan saling membenci, bermusuhan dan akhirnya pertumpahan darah, pembunuhan dan peperangan. Maka alim Ulama' menyeru agar ummat ini mengusahakan agar wujud sifat memuliakan sesama Islam, saling kasih mengasihi, sayang menyayangi dan saling mencintai atas satu kalimah dan sifat persaudaraan sesama Islam. Islamlah yang menyatukan Aus dan Khazraj, Muhajirin dan Ansar, Arab dan Ajam. Semuanya sama dari Adam; yang terbaik ialah yang paling bertaqwa kepada Allah.
Kemungkaran seterusnya yang melanda ummat ialah beramal kerana selain dari Allah. Kerana pangkat, harta, kedudukan, nama, pujian, sanjungan dan pelbagai lagi niat yang batil. Semuanya tertolak disisi Allah. Moga Allah ampunkan kita. Maka alim ulama' menghendaki agar kita sentiasa memeriksa dan membetulkan niat, didalam mentaati Allah dan menjauhi larangan-Nya, semuanya semata-mata kerana-Nya.
Dan yang menjadikan ummat menjadi begitu lemah pada zaman ini, yang kelemahannya tidak pernah berlaku sedemikian rupa pada zaman sebelumnya, adalah kerana ummat ini meninggalkan mutiara kerja kenabian, kerja yang menjadikan ummat ini ummat yang terbaik. Maka alim ulama' menyeru agar ummat ini kembali kepada amalan Nabi, para sahabat dan salafussoleh yang terunggul ini. Mereka yang terdahulu telah mengorbankan seluruh harta, masa, diri bahkan nyawa untuk agama Allah Taala ini. Mereka telah bertebaran di seluruh penjuru alam bagi menyebarkan risalah Tauhid. Kubur-kubur mereka ada di serata pelusuk dunia. Kitalah ummat akhir zaman yang mewarisi kerja dan tanggungjawab dan kemuliaan ini. Apakah kita sanggup melihat agama ini jatuh dan dihina, sedangkan kita masih hidup?
Semoga Allah memilih saya dan tuan-tuan untuk sama-sama bangkit untuk menyambung usaha agama yang suci murni ini, dengan sedia mengorbankan sedikit kesenangan di dunia ini, bagi melaksanakan dakwah Ilallah dan tanggung jawab amar makruf nahi mungkar.
Maka bagaimanakah boleh dikatakan yang usaha dakwah dan tabligh ini tidak mencegah kemungkaran???
2 comments:
Assalamualaikum,
tak letak logo gerbang utama kat blog ni?
logo ada kt laman gerbang utama
blah kiri INSYA ALLAH
amik kod html dia ye?
http://blogkarkun.blogspot.com/
maaf tuan, saya dah cuba tapi tak tau camana nak buat. harap tuan boleh tolong ajar step by step.
'saya budak baru belajar' :-)
Post a Comment