Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Sunday, December 23, 2012

Keutamaan Para Alim Ulama'


Para Ulama' ialah pewaris para Ambiya'. Para Ulama'lah yang menggunakan seluruh kehidupan mereka mempelajari firman Allah dan sabdaan Rasul-Nya, menghafalnya ke dalam dada-dada mereka, mencatit dan merekodkannya ke dalam kitab-kitab, menjaga dan memeliharanya, mentafsir dan mensyarahkannya, mengajar dan menyebarluaskannya kepada seluruh manusia di seluruh penjuru alam dengan metodologi sanad yang begitu kukuh dan otentik sehingga keasliannya terjaga dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini. Dan Insya Allah, perkara ini akan kekal sehingga kiamat, Amin.
Para Alim Ulama'lah yang berusaha memelihara Islam dan mempertahankannya dengan ilmu-ilmu alat dan usul yang begitu utuh dan mantap sehingga mustahil untuk ditembusi oleh musuh-musuh Islam. Pada zaman para sahabat, Alim Ulama' telah membukukan al-Qur'an dan memeliharanya dari ditokok tambah oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Pada zaman tabiin dan tabiit tabiin, ilmu fiqh dan usul fiqh telah dikembangkan oleh para Imam Mujtahid bagi manfaat ummat, terutama didalam kaedah menggali hukum dari Qur'an dan Sunnah. Pada zaman berikutnya, telah bangun para Imam hadith bagi merekod dan mengkodifikasikan hadith-hadith dan menilainya bersesuaian dengan darjah riwayah dan dirayahnya, serta mengasingkan hadith-hadith yang palsu yang diwujudkan oleh golongan berkepentingan. Datang pula satu zaman bilamana fahaman falsafah telah menyerap masuk ke dalam segolongan ummat Islam, maka bangkit pula para Ulama' Aqidah mempertahankan Islam dengan menyusun ilmu tauhid dengan begitu mantap sehingga tewas dan musnah segala para pendokong faham kesesatan. Begitulah kehendak Allah Taala, agama ini telah dipelihara oleh-Nya dari zaman berzaman melalui perantaran para pewaris nabi-nabi-Nya.
Musuh-musuh Islam telah mencuba dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menghapus dan memusnahkan Islam, dengan menghancurkan keilmuannya dan para Ulama'nya, namun usaha ini sentiasa menemui kegagalan. Kerana dalam setiap zaman, Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, Yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa, sentiasa membangkitkan angkatan Ulama' yang ikhlas didalam menjalankan tugas memelihara warisan keilmuan Islam ini. Didalam mempertahankan Islam dan ilmu Islam, mereka sanggup menanggung pelbagai kesulitan dan susah-payah, fitnah dan cercaan dari para pemfitnah dan golongan yang bencikan Islam. Bahkan berapa ramai dikalangan alim Ulama' haq yang ditangkap, dipenjara, disiksa dan disyahidkan kerana mempertahankan Islam dan kefahaman Islam yang sebenar.
Maka tanggungjawab kitalah selaku ummat akhir zaman ini, untuk sentiasa berusaha mewujudkan golongan Ulama' haq yang bersedia menggunakan ilmu, tenaga, harta, dan bahkan nyawa mereka didalam usaha meninggikan Islam dan syiar-nya. Tanggungjawab kitalah untuk memuliakan para alim ulama' yang haq kerana inilah yang diwasiatkan oleh kekasih kita junjungan besar Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Dan tanggungjawab kitalah untuk membantu para alim ulama', dalam bentuk tenaga dan fikiran dan kewangan dan sokongan fizikal mahupun moral, dan membela mereka dari dicaci atau difitnah atau dihina oleh musuh-musuh Islam.
Adalah sangat tidak adil jika ada orang menyamakan pendeta yahudi atau nasrani dengan para alim ulama' haq, sedangkan rata-rata para pendeta itu telah mengubah firman-firman Allah didalam kitab-kitab Taurat dan Injil atas kepentingan hawa nafsu mereka. Memang ada sebahagian kecil dari para pendeta ini yang ikhlas sehingga beriman kepada Nabi Sallalahu alaihi wa sallam ketika sampai berita kenabian kepada mereka, namun golongan kecil ini ramai yang telah ditindas dan bahkan turut dibunuh oleh masyarakat awam Kristian dan Yahudi yang membenci Islam pada zaman itu. Ringkasnya, alim Ulama' haq tidaklah sama dengan para pendeta yang dimurkai dan sesat itu, kerana Alim Ulama' haq memelihara ilmu agama ini dengan nyawa mereka, tetapi segolongan besar pendeta-pendeta jahat ini pula menyesuaikan agama menurut hawa nafsu serakah mereka.
Juga sangat salah jika ada orang (apatah lagi golongan awam) yang memandang rendah terhadap alim ulama' haq yang tidak menjalankan dakwah dari pintu ke pintu, kerana beranggapan bahawa jika tidak berbuat seperti ini, maka mereka (alim ulama') telah meninggalkan Sunnah Nabi atau alasan seumpamanya. Sedangkan kita tidak memahami dan mengetahui tanggungjawab khusus yang dipikul oleh setiap alim' ulama' didalam jurusan pengkhususan mereka masing-masing. Ada dikalangan mereka yang bertanggungjawab didalam berhadapan dengan golongan sesat, maka mereka perlu menghabiskan masa yang banyak didalam meneliti dan mentelaah dan menyelidik kitab-kitab bagi mematahkan hujah-hujah golongan sesat ini, dan ini memerlukan lapangan yang begitu khusus dan terperinci. Ada yang terlibat didalam bidang penulisan dan pengajaran tafsir, syarah hadith, zikir dan islah, dan pelbagai lagi cabangan Islam yang memerlukan pengkhususan dan perincian yang hanya boleh dilaksanakan oleh mereka. Perkara ini telahpun dijelaskan oleh para Ulama’ dakwah sendiri didalam pesanan-pesanan mereka kepada para pekerja dakwah dan tabligh.
Bahkan ada pula yang mengkritik para Ulama’ dakwah atas landasan hujah yang tidak berasas, dengan mengatakan yang ulama’ dakwah hanya membuat ceramah dan bayan umum di markas-markas dakwah dan tidak turun ke padang dengan melaksanakan dakwah dari pintu ke pintu. Tidakkah kita melihat sejarah, yang Nabi Sallallahu alaihi wa sallam pun, pada satu peringkat didalam kehidupan baginda, banyak menghabiskan masa didalam Masjid Nabawi yang merupakan markas dakwah utama Islam pada masa itu (jika dibandingkan dengan usaha Baginda semasa period dakwah di Mekah)? Mengapa ini berlaku? Ini kerana keadaan pada masa itu yang memerlukan para penanggungjawab agama berada di pusat dakwah bagi memenuhi tanggungjawab, misalnya menerima kehadiran tetamu dari luar yang tidak putus-putus mengunjungi Madinah bagi menyatakan keislaman dan berbai’ah dengan Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Juga tanggungjawab menerima laporan dakwah dari Jemaah-jemaah dakwah  yang baru tangguh dari keluar dijalan Allah, bermesyuarat dengan ahli-ahli syura dan membuat keputusan bagi urusan jemaah-jemaah yang seterusnya, dan pelbagai urusan pentadbiran yang lain. Ini sangat mudah difahami walaupun oleh mereka yang terlibat dengan sistem pentadbiran keduniaan seperti perniagaan dan politik. Apatah lagi urusan pentadbiran  bagi kerja dakwah yang menjadi sebab para Nabi dihantar.

Semoga Allah memelihara hati, lidah dan tingkah laku kita dari mengkritik dan mencari-cari kesalahan para Ulama’ haq’, apatah lagi mencerca dan mencela mereka dan memusuhi mereka, kerana perbuatan ini hanyalah menjadi sebab kehancuran dan kemusnahan kita sendiri.

Dan semoga Allah membangkit dan meningkatkan lagi golongan Ulama’ haq dikalangan ummat ini dari segi kuantiti dan kualiti, terutama pada akhir zaman yang penuh dengan kefasadan dan kemungkaran ini. Sehingga melalui mereka, sinar agama ini akan memancar semula dengan lebih terang, menerangi alam maya pada ini dengan cahaya kebenaran, dipenuhi dengan nur dari firman Allah dan Rasul-Nya, sehingga menembusi setiap hati-hati manusia bagi menerima taufiq dan hidayah dari Allah Taala yang Maha Perkasa, Amin.

Thursday, December 13, 2012

Bantahan terhadap Kitab Fadhoil A'maal: Analisa Asas


http://www.peopleofsunnah.com/downloads/summary/113-misconceptions/1187-objection-on-fazail-e-amaal-a-basic-analysis.html

Buku 'Objection on Fazail Amaal - Basic Analysis' ini disusun oleh Maulana Abdullah Maroofi, terbitan Zam zam Publishers.

Ia menjawab tuduhan-tuduhan liar yang sering dilemparkan kepada kitab ini, seperti tertolaknya hadith dhaif yang banyak disebut didalamnya, terdapat unsur syirik, perkara-perkara mustahil boleh berlaku, dan sebagainya.

Sunday, December 9, 2012

Kekaromahan Para Wali

"Rather we say that any one of the Ambiyaa is better than all the Auliyaa put together. We believe in what we know of Karaamat (the marvels of the Auliyaa) and in authentic stories about them from trustworthy sources".

Terjemahan bebas:
" Bahkan kita mengatakan bahawa  mana-mana Ambiya' adalah lebih baik dari keseluruhan Auliya' dikumpulkan. Kita percaya dengan apa yang kita tahu tentang Karomah (perkara luar biasa yang berlaku kepada para Auliya') dan kisah-kisah yang otentik mengenai mereka dari sumber-sumber yang dipercayai".

[Imam Abu Ja'far al-Tahawi, "Aqeedatut Tahawi", disyarah oleh Maulana Qari Muhammad Tayyib (bekas Canselor Madrasah Darul Ulum Deoband), diterjemahkan oleh Mufti Afzal Hoosen Elias, Zam zam Publishers, m/s 227 . ISBN 969-8863-81-8]

Mempercayai kewujudan karomah para wali adalah salah satu perkara yang termasuk didalam aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Ini boleh dijadikan sandaran misalnya kepada kisah kekaromahan Syaikh Ahmad Rifa'i Rahimahullah yang dinyatakan didalam kitab Fadhoil A'maal susunan Qutbul Aqtab Syaikhul Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhlawi Rahimahullah.

http://dakwah-ilallah.blogspot.co.uk/2012/02/karomah-syaikh-ahmad-rifai-rahimahullah.html

Hidupnya Nabi Sallallahu alahi wa Sallam didalam kubur baginda, begitu juga dengan Nabi-Nabi yang lain, dan juga para wali, boleh dirujuk disini

http://salafytobat.wordpress.com/category/6-scanned-books-proof-live-after-death-mereka-yang-hidup-setelah-mati-para-nabi-dan-wali-menjawab-salam-shalat-berdoa-jasad-utuh-etc-di-dalam-kuburnya/

Orang-orang yang dikurniakan Allah karomah juga mempunyai kemungkinan untuk berjumpa dengan Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam secara jaga (yaqazah) sebagaimana yang boleh kita fahami didalam artikel berikut:

http://www.islam.gov.my/sites/default/files/menjawab_dakwaan_yaqazah_sesat_jemaah_al-arqam.pdf


Monday, December 3, 2012

Golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah


Saya tertarik dengan tulisan Dr. Asmadi Mohamed Naim yang boleh dibaca di http://jomfaham.blogspot.co.uk/2009/12/golongan-ahlussunnah-wal-jamaah.html.
Disini saya copy-pastekan untuk tatapan kita bersama.

Sedikit pandangan saya:
 
Didalam artikel ini, Imam Al-Baghdadi Rahimahullah menyatakan didalam kitab beliau al-Farq Baina al-Firaq bahawa diantara lapan golongan yang termasuk sebagai Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah, seperti yang disebut didalam golongan ketujuh, mereka yang '... menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka...'
 
Maka sewajarnya perkara ini kita perhatikan dengan sebaik-baiknya, sebagaimana yang telah diamalkan oleh Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam sendiri, para sahabat Radhiallahu anhum ajma'in, dan orang-orang yang mengikuti mereka itu dengan baik. Bahawa diantara ciri-ciri golongan haq ini ialah mereka yang bersedia untuk meninggalkan isteri dan keluarga dan tanah air mereka atas maksud agama; untuk mempelajarinya, untuk menyebarkannya, untuk mendakwah dan mentablighkannya, untuk mempertahankannya, dan untuk meninggikannya. Dan semua ini dibuat dengan menggunakan harta, masa dan diri sendiri semata-mata kerana Allah dan hanya mengharapkan upah dari-Nya.
 
Didalam usaha melindungi ummat Islam, yang kita boleh faham tentulah didalam melindungi nyawa, harta benda, kediaman, maruah dan harga diri. Dan yang lebih penting ialah usaha untuk melindungi ummat Islam dari dirosakkan imannya, amalannya dan kehidupan beragamanya, yang kerosakan jenis ini akan menghancurkan ummat ini dunia dan akhirat, semoga Allah melindungi.
 
 
 
 
**********************************************
 
 
GOLONGAN AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH (Membetulkan Pernyataan Dr Asri)

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) oleh Dr MAZA pada pertengahan November 2009 lepas dalam Utusan Malaysia.
Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya al-Farq Baina al-Firaq. Namun malangnya perkataan 'al-turuq al-sifatiah' atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara perkara yang penting bagi menentukan samada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama. Pada saya, ada sedikit masalah 'amanah ilmu' bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi bila mensyarahkan pengertian ASWJ (atau mungkin dia tidak sengaja). Penulis juga tidak memperjelaskan penerangan Imam al-Baghdadi (selepas memetik definisi Imam itu) berkaitan dengan definisi tersebut.

Demikian juga,
ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun seribu Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin. Penulis tidak merujuk kemunculan metode tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah (atau mungkin dia juga tidak sengaja).


Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakan Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas. Bagi pembaca-pembaca yang berupaya membaca bahasa Arab, boleh merujuk terus kepada kitab Imam ini. Imam al-Baghdadi Rahimahullah menyatakan (hal.19):



"Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Abu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fekah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis dari mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan pencipta, keesaan sifat-sifatNya, keadilanNya, hikmahNya, dan nama-namaNya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud, dan pada perkara usuluddin."




Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan
LAPAN (8) golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

• Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman siksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas dari fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT)), dan bebas dari bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.

•
Golongan kedua ialah imam-imam fiqh samada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadith. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas dari fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah).

Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa dari ahli bidaah dan hawa nafsu.

•
Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadith dan sunnnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab 'al-jarh wa al-ta'dil' (kredibiliti seorang rawi), dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa dari ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.

•
Golongan ke empat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala` (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu samada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu dari bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia dari golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.

•
Golongan ke lima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran, dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.

•
Golongan ke enam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka redha dengan hidup yang ringkas, mereka mengatahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik perisapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan 'pentasybihan' (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakkal kepadanya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.

•
Golongan ke tujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka, dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.

•
Golongan ke lapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.


Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi (wafat429H).
Rupanya ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengekslusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talqin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19):

"Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan pencipta dan qidamNya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihatNya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitabNya dan rasulNya, dan mengikut segala syariat islam, dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh Al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh Al-Quran, serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan".



Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah lantaran perkara-perkara tersebut. Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam