'Akan datang pembaharu agama setiap abad...'
Kaum yang haq adalah yang paling berhak untuk mengalami proses pembaharuan, setiap masa dan keadaan dan tempat dan zaman.
Jika istilah 'kitab kuning' dimomokkan oleh pemomok dan si jahil sebagai buku agama lama tulisan jawi kuno yang disimpan dalam rak-rak buku buruk, maka seharusnya kita menukar istilah ini kepada 'kitab muktabar', 'kitab bersanad', atau seumpamanya, yang merujuk kepada kitab yang haq yang ditulis oleh ulama' haq dan dipelajari oleh kaum yang haq dari zaman berzaman.
Jika istilah 'pondok' disalahertikan oleh para pemfitnah sebagai tempat belajar agama yang senget bangunannya, menggunakan api pelita untuk mencahayakannya, dan beratapkan rumbia dan berdindingkan kayu yang dimakan anai-anai, maka rasanya sudah tiba masanya untuk kita menggunakan istilah pembaharuan yang menghilangkan penghinaan ini, seperti istilah 'Madrasah', 'Darul Ulum', dan seumpamanya.
Jika istilah 'Kaum Tua' membayangkan seolah-olah golongan yang haq ini dipimpin oleh ulama' yang beku pemikirannya, taksub sifatnya, jumud akalnya, tertutup terhadap perkembangan ilmu dan fatwa semasa dan sezaman, dan pelbagai bentuk hinaan yang lain, maka rasanya sudah sampai masanya istilah ini digantikan kepada istilah yang terkini seperti 'Kaum Haq', 'Golongan Ahlussunnah yang Sohih', 'Kaum Ulama' Bersanad', atau seumpamanya. Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa golongan yang dipanggil 'Kaum Tua' inilah sebenarnya yang paling terkehadapan didalam mengeluarkan fatwa-fatwa baru yang sesuai dengan zaman berdasarkan disiplin ilmu fiqh, usul fiqh dan cabangan ilmu-ilmu lain yang diwarisi dari para pendahulu kita.
Istilah hanyalah istilah, kerana yang penting maksud istilah tersebut tercapai. Begitulah lebih-kurang sepertimana yang dinukilkan oleh Hujjatul Islam, Imam Ghazali Rahimahullah. Jika istilah sedia ada yang begitu berjasa kepada dunia Islam telah dihina sedemikian rupa sehingga mengubah persepsi masyarakat awam dari positif kepada negatif (kerana fitnah dan momokan golongan tertentu yang berkepentingan), maka tidaklah menjadi satu kesalahan rasanya untuk direvisikan dan ditukar istilah-istilah ini agar dapat terhembus nafas baru didalam usaha pembaharuan gerakan aliran tradisional Ahlussunnah wal Jamaah.
Bahkan, istilah tradisional dan tradisionalis itupun, mungkin boleh ditukar misalnya kepada 'aliran Salafussoleh yang Sohih', 'golongan Haq bersanad', atau seumpamanya yang mencerminkan kejernihan, kebenaran, kelurusan, ketelusan dan ketulusan para Ahlussunnah wal Jamaah yang sebenar ini.
Usaha dakwah dan Tabligh sendiri menggalakkan penggunaan istilah 'Ahbab' merujuk kepada para pekerja yang yang berkhidmat untuk usaha agama ini, dan berusaha untuk tidak menggunakan istilah 'karkun', kerana bertujuan untuk mengelak dari persepsi eksklusiviti para pekerja dakwah ini, dan menjadikannya seperti sebuah persatuan atau pertubuhan. Padahal usaha ini adalah perintah Allah, Sunnah Rasul-Nya, amalan para sahabat, diwarisi oleh ulama' amilin turun temurun; usaha sebaik-baik ummat, untuk seluruh ummat, dan adalah milik ummat.
Maksud disini ialah, kita berusaha untuk menjadikan agama dan usaha agama ini mudah untuk diterima dan dihadamkan oleh masyarakat. Salah satu caranya ialah dengan menyesuaikan istilah-istilah sedia ada kepada istilah-istilah yang lebih mudah diterima berbanding istilah yang telah dirosakkan maknanya oleh pihak tertentu.
'Permudahkanlah, jangan dipersulitkan.'
Wallahu a'lam.
Bangunan baru Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling Kuala Lumpur




