Hukum dakwah
Berdakwah adalah satu jihad (pengorbanan), hukumnya fardhu kifayah (dalam keadaan biasa) dan hendaklah ada satu golongan yang berdakwah dan melakukan kerja agama:-
Ali Imran [104] Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Tetapi jikalau umat sudah rosak teruk, hukum dakwah berubah menjadi fardhu ain. Setiap orang yang mempunyai ilmu ugama wajib berdakwah.
Teknik berdakwah
Dakwah umpama berniaga, mempromosikan produk Islam untuk menarik lebih ramai orang kepada Allah. Nabi Musa dan Nabi Harun disuruh berlemah lembut semasa menghadapi raja Firaun (yang mempunyai kuasa politik). Begitu juga para pendakwah dan peniaga yang hendak menarik pelanggan datang kepadanya.
Taha [43] Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya.[44] Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.
Mesej dakwah hendaklah jelas dan terang supaya difahami oleh orang ramai.
An-Nahl [82] Kemudian, jika mereka masih berpaling ingkar maka sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanya bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan cara yang jelas nyata.
Berilah peringatan kepada mereka yang takutkan Allah supaya mereka terus dalam keimanan dan Islam. Dakwah dan nasihat mesti diteruskan walaupun orang itu sudah menjadi ahli masjid agar mereka kekal menjadi ahli masjid
An-Naziat [45] Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.
Tanpa usaha dakwah (amal ma’ruf dan nahi mungkar) Allah tidak terima doa.
Sabda Rasulullah SAW: “Demi Allah (SWT) s.w.t yang jiwaku berada dalam tangan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf (baik) dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar (keji). Jika kalian tidak melakukannya Allah (SWT) s.w.t akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan.(Riwayat Tirmidzi)
Cara berdakwah
Dakwah itu luas. Berdakwahlah dimana saja mengikut kemampuan dan kepakaran. Dakwah banyak caranya.. asalnya seru kebaikan, larang kejahatan. Sembahyang berjemaah di tempat terbuka misalnya di padang merupakan satu dakwah dalam bentuk perbuatan.
Sabda Rasulullah s.a.w.: Sembahyang berjamaah menyamai 25 sembahyang, maka apabila seseorang itu bersembahyang di tanah lapang yang luas, lalu dia menyempurnakan rukuknya dan sujudnya, nescaya ia dapat menyamai sampai 50 sembahyang. (HR Abu Daud dari Abu Sa’id al-Khudri)
Nabi dan para sahabat meninggalkan anak isteri untuk menyebarkan Islam. Jikalau mereka tidak keluar, maka tidak sampailah Islam ke serata dunia. Lepas Asar juga mereka berjalan kaki dan mengetuk pintu rumah-rumah, seperti yang dilakukan jemaah tabligh.
Nabi dan Rasul juga berdakwah
Tugas rasul adalah berdakwah iaitu menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan.
Al-Ahqaf [31] Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Nabi Ibrahim adalah orang pertama diberi pakaian di Padang Mahsyar kerana baginda orang pertama ditelanjangkan oleh musuh Allah dalam menjalankan dakwahnya.
Nabi Muhammad s.a.w paling teruk menerima musibah dalam berdakwah berbanding nabi-nabi terdahulu. Semakin tinggi pengorbanan semakin tinggilah tingkat kedudukan di syurga. Oleh itu janganlah lepaskan peluang untuk membuat pengorbanan. Nabi Muhammad s.a.w berdakwah untuk sekelian alam sepertimana Allah juga tuhan sekelian alam.
Fatihah [2] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.
Anbiya [107] Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam
Ganjaran
Syurga Allah amat luas, 3 perempat syurga adalah milik umat Nabi Muhammad s.a.w. Untuk mendapat syurga perlu pengorbanan pada jalan Allah. Zaman Nabi dulu jihad lebih kepada pengorbanan harta benda dan jiwa raga. Zaman ini kita boleh berjihad melalui dakwah menyebarkan Islam dan melalui amal soleh.Semuanya ditanya adakah sudah menyampaikan apa yang Allah suruh sampaikan.
Perbicaraan dakwah
Di hari qiamat semua disoal termasuk para nabi, rasul, malaikat. Bermula dari Jibril. Allah tanya Jibril apakah dia telah menyampaikan apa yang disuruhnya. Kemudian apabila Jibril mengatakan ya, Allah tanya siapakah saksinya. Lalu jawab Jibril “Mikail”. Begitu juga nabi Adam, Idris, Nuh sehinggalah Nabi Isa. .:-
Maidah [116] Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: Wahai Isa Ibni Mariam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? Nabi Isa menjawab: Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
Nabi Nuh pengsan beberapa kali ketika berdakwah.1000 tahun berdakwah. Beliau menangis meratapi kedegilan umatnya kerana bimbang umatnya masuk neraka. Apabila Allah tanya siapa saksi Nabi Nuh, katanya umat Muhammad. Umat Muhammad yang membaca quran berkenaan kisah nabi Nuh.
Hud [25] Dan demi sesungguhnya! Kami telah utuskan Nabi Nuh lalu dia memberitahu kaumnya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini seorang Rasul pemberi amaran yang nyata kepada kamu. [26] Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika kamu menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan.
Semuanya dibicarakan bukan kerana Allah tidak tahu tapi sebagai pengajaran kepada manusia dalam masalah penghakiman.
[dipetik dari http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/04/03/dakwah/; blog Tuan Guru Hazrat Maulana Syed Noor Mohammad Bin Syed Jamal (semoga Allah melindunginya)]