Para Ulama' ialah pewaris para Ambiya'. Para Ulama'lah yang
menggunakan seluruh kehidupan mereka mempelajari firman Allah dan sabdaan
Rasul-Nya, menghafalnya ke dalam dada-dada mereka, mencatit dan merekodkannya
ke dalam kitab-kitab, menjaga dan memeliharanya, mentafsir dan mensyarahkannya,
mengajar dan menyebarluaskannya kepada seluruh manusia di seluruh penjuru alam
dengan metodologi sanad yang begitu kukuh dan otentik sehingga keasliannya
terjaga dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini. Dan Insya Allah,
perkara ini akan kekal sehingga kiamat, Amin.
Para Alim Ulama'lah yang berusaha memelihara Islam dan
mempertahankannya dengan ilmu-ilmu alat dan usul yang begitu utuh dan mantap
sehingga mustahil untuk ditembusi oleh musuh-musuh Islam. Pada zaman para
sahabat, Alim Ulama' telah membukukan al-Qur'an dan memeliharanya dari ditokok
tambah oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Pada zaman tabiin dan tabiit
tabiin, ilmu fiqh dan usul fiqh telah dikembangkan oleh para Imam Mujtahid bagi
manfaat ummat, terutama didalam kaedah menggali hukum dari Qur'an dan Sunnah.
Pada zaman berikutnya, telah bangun para Imam hadith bagi merekod dan
mengkodifikasikan hadith-hadith dan menilainya bersesuaian dengan darjah
riwayah dan dirayahnya, serta mengasingkan hadith-hadith yang palsu yang
diwujudkan oleh golongan berkepentingan. Datang pula satu zaman bilamana
fahaman falsafah telah menyerap masuk ke dalam segolongan ummat Islam, maka
bangkit pula para Ulama' Aqidah mempertahankan Islam dengan menyusun ilmu
tauhid dengan begitu mantap sehingga tewas dan musnah segala para pendokong
faham kesesatan. Begitulah kehendak Allah Taala, agama ini telah dipelihara
oleh-Nya dari zaman berzaman melalui perantaran para pewaris nabi-nabi-Nya.
Musuh-musuh Islam telah mencuba dengan pelbagai cara dan
kaedah untuk menghapus dan memusnahkan Islam, dengan menghancurkan keilmuannya
dan para Ulama'nya, namun usaha ini sentiasa menemui kegagalan. Kerana dalam
setiap zaman, Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, Yang Maha Bijaksana dan
Maha Berkuasa, sentiasa membangkitkan angkatan Ulama' yang ikhlas didalam
menjalankan tugas memelihara warisan keilmuan Islam ini. Didalam mempertahankan
Islam dan ilmu Islam, mereka sanggup menanggung pelbagai kesulitan dan
susah-payah, fitnah dan cercaan dari para pemfitnah dan golongan yang bencikan
Islam. Bahkan berapa ramai dikalangan alim Ulama' haq yang ditangkap,
dipenjara, disiksa dan disyahidkan kerana mempertahankan Islam dan kefahaman
Islam yang sebenar.
Maka tanggungjawab kitalah selaku ummat akhir zaman ini,
untuk sentiasa berusaha mewujudkan golongan Ulama' haq yang bersedia
menggunakan ilmu, tenaga, harta, dan bahkan nyawa mereka didalam usaha
meninggikan Islam dan syiar-nya. Tanggungjawab kitalah untuk memuliakan para
alim ulama' yang haq kerana inilah yang diwasiatkan oleh kekasih kita junjungan
besar Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Dan tanggungjawab kitalah untuk membantu
para alim ulama', dalam bentuk tenaga dan fikiran dan kewangan dan sokongan
fizikal mahupun moral, dan membela mereka dari dicaci atau difitnah atau dihina
oleh musuh-musuh Islam.
Adalah sangat tidak adil jika ada orang menyamakan pendeta
yahudi atau nasrani dengan para alim ulama' haq, sedangkan rata-rata para
pendeta itu telah mengubah firman-firman Allah didalam kitab-kitab Taurat dan
Injil atas kepentingan hawa nafsu mereka. Memang ada sebahagian kecil dari para
pendeta ini yang ikhlas sehingga beriman kepada Nabi Sallalahu alaihi wa sallam
ketika sampai berita kenabian kepada mereka, namun golongan kecil ini ramai
yang telah ditindas dan bahkan turut dibunuh oleh masyarakat awam Kristian dan
Yahudi yang membenci Islam pada zaman itu. Ringkasnya, alim Ulama' haq tidaklah
sama dengan para pendeta yang dimurkai dan sesat itu, kerana Alim Ulama' haq
memelihara ilmu agama ini dengan nyawa mereka, tetapi segolongan besar
pendeta-pendeta jahat ini pula menyesuaikan agama menurut hawa nafsu serakah
mereka.
Juga sangat salah jika ada orang (apatah lagi golongan awam)
yang memandang rendah terhadap alim ulama' haq yang tidak menjalankan dakwah
dari pintu ke pintu, kerana beranggapan bahawa jika tidak berbuat seperti ini,
maka mereka (alim ulama') telah meninggalkan Sunnah Nabi atau alasan
seumpamanya. Sedangkan kita tidak memahami dan mengetahui tanggungjawab khusus
yang dipikul oleh setiap alim' ulama' didalam jurusan pengkhususan mereka
masing-masing. Ada dikalangan mereka yang bertanggungjawab didalam berhadapan
dengan golongan sesat, maka mereka perlu menghabiskan masa yang banyak didalam
meneliti dan mentelaah dan menyelidik kitab-kitab bagi mematahkan hujah-hujah
golongan sesat ini, dan ini memerlukan lapangan yang begitu khusus dan
terperinci. Ada yang terlibat didalam bidang penulisan dan pengajaran tafsir,
syarah hadith, zikir dan islah, dan pelbagai lagi cabangan Islam yang
memerlukan pengkhususan dan perincian yang hanya boleh dilaksanakan oleh
mereka. Perkara ini telahpun dijelaskan oleh para Ulama’ dakwah sendiri didalam
pesanan-pesanan mereka kepada para pekerja dakwah dan tabligh.
Bahkan ada pula yang mengkritik para Ulama’ dakwah atas
landasan hujah yang tidak berasas, dengan mengatakan yang ulama’ dakwah hanya
membuat ceramah dan bayan umum di markas-markas dakwah dan tidak turun ke
padang dengan melaksanakan dakwah dari pintu ke pintu. Tidakkah kita melihat
sejarah, yang Nabi Sallallahu alaihi wa sallam pun, pada satu peringkat didalam
kehidupan baginda, banyak menghabiskan masa didalam Masjid Nabawi yang merupakan markas
dakwah utama Islam pada masa itu (jika dibandingkan dengan usaha Baginda semasa period dakwah di Mekah)? Mengapa ini berlaku? Ini kerana keadaan pada
masa itu yang memerlukan para penanggungjawab agama berada di pusat dakwah bagi
memenuhi tanggungjawab, misalnya menerima kehadiran tetamu dari luar yang tidak
putus-putus mengunjungi Madinah bagi menyatakan keislaman dan berbai’ah dengan
Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Juga tanggungjawab menerima laporan dakwah dari Jemaah-jemaah
dakwah yang baru tangguh dari keluar dijalan Allah, bermesyuarat dengan
ahli-ahli syura dan membuat keputusan bagi urusan jemaah-jemaah yang seterusnya, dan
pelbagai urusan pentadbiran yang lain. Ini sangat mudah difahami walaupun oleh
mereka yang terlibat dengan sistem pentadbiran keduniaan seperti perniagaan dan
politik. Apatah lagi urusan pentadbiran bagi kerja dakwah yang menjadi sebab para Nabi
dihantar.Semoga Allah memelihara hati, lidah dan tingkah laku kita dari mengkritik dan mencari-cari kesalahan para Ulama’ haq’, apatah lagi mencerca dan mencela mereka dan memusuhi mereka, kerana perbuatan ini hanyalah menjadi sebab kehancuran dan kemusnahan kita sendiri.
Dan semoga Allah membangkit dan meningkatkan lagi golongan
Ulama’ haq dikalangan ummat ini dari segi kuantiti dan kualiti, terutama pada
akhir zaman yang penuh dengan kefasadan dan kemungkaran ini. Sehingga melalui
mereka, sinar agama ini akan memancar semula dengan lebih terang, menerangi
alam maya pada ini dengan cahaya kebenaran, dipenuhi dengan nur dari firman
Allah dan Rasul-Nya, sehingga menembusi setiap hati-hati manusia bagi menerima
taufiq dan hidayah dari Allah Taala yang Maha Perkasa, Amin.