Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Friday, December 2, 2011

Fatwa Mufti Brunei Mengenai Jamaah Tabligh: mohon maklumat

Bismillah, Alhamdulillah, Wassolatu was Salamu ala Rasulillah.

Saya pernah membaca secara sekali imbas mengenai fatwa Mufti Brunei berkenaan Jamaah Tabligh. Fatwa tersebut dikeluarkan pada tahun 1995, sebagaimana yang tercatit didalam senarai fatwa yang dipostkan di laman web rasmi Jabatan Mufti Kerajaan Brunei di http://www.mufti.gov.bn/fatwa/Senarai%20Fatwa%201995.htm, fatwa siri 27/1995.

Sayang sekali saya tidak berkesempatan memiliki salinan fatwa berkenaan. Diharap rakan-rakan yang berpeluang memilikinya, bolehlah berkongsi maklumat disini.

Secara ringkasnya, yang dapat saya fahami dari fatwa berkenaan ialah Yang Berbahagia Mufti memberi reaksi positif, bersetuju dan mendokong usaha dan kegiatan yang dijalankan oleh Jamaah Tabligh ini.

Semoga Allah sentiasa melindungi Yang Berbahagia Mufti Brunei, menegakkan kebenaran dan membasmi kebatilan melalui lidah dan pena beliau yang mulia, amin.

Sunday, November 6, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Selamat Hari Raya Aidil Adha diucapkan kepada rakan-rakan sekalian. Semoga Allah Taala menjadikan kehidupan Nabi-Nya Ibrahim Khalilullah Alaihissalam dan anak isteri baginda yang penuh dengan pengorbanan dan susah payah untuk agama Allah, sebagai panduan, tauladan dan ikutan buat kita ummat Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Amin.

Wednesday, October 19, 2011

Isu Murtad & Usaha Atas Iman

Bismillah. Alhamdulillah, was Solatu was Salamu 'ala Rasulillah.

Didalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini, isu murtad telah banyak diperkatakan. Bahkan jumlah orang-orang yang murtad pun dikatakan semakin bertambah. Ia telah menjadi fenomena yang semakin serius, wabak yang bertambah menular didalam masyarakat, dan kita tidak tahu bagaimana situasi dan keadaan pada masa akan datang.

Murtad adalah satu perkara yang sangat besar. Murtad bermakna keluar dari Islam. Aqidah bukan setakat rosak, malah telah terputus dari individu. Kadar iman bukannya setakat lemah atau nipis, malah telah tercabut dari hati seseorang sehingga ke akar umbinya. Jika tidak kembali mengucap syahadah, tidak memperbaharui aqidah dan iman, dan mati dalam keadaan murtad, maka matinya adalah mati kafir, akan dibangkitkan diakhirat kelak bersama-sama dengan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah Subhanahu wa Taala, tidak akan dapat hatta mencium bau syurga, dan kekal didalam neraka buat selama-lamanya.. Na'uzubillah.

Mengapa murtad boleh terjadi? Apatah lagi apabila ia berlaku dikalangan Melayu/Islam kita yang telah beratus tahun dan berketurunan, telah dididik dan dibesarkan didalam lingkungan masyarakat Islam. Sebabnya kerana kepercayaan dan keyakinan kepada Allah Taala telah luntur, lemah, terhakis hari demi hari, sehingga menjadi semakin nipis dan lemah, dan terus lemah sehingga sampai satu ketika, ia hilang dari hati seseorang. Proses ini mengambil masa, dan penyebab berlakunya hal ini adalah pelbagai. Antaranya ialah kehidupan yang jauh dari agama, amalan kehidupan harian yang dipengaruhi kehidupan selain kehidupan Nabi Sallallahu alaihi wa sallam, perbuatan dosa besar seperti meninggalkan solat dibuat secara berterusan, kurang atau tiadanya didikan agama yang sempurna, kecintaan kepada dunia yang semakin menebal sehingga menjadikan dunia sebagai maksud kehidupan, dipengaruhi dengan ajaran-ajaran batil, dan pelbagai lagi sebab musabab yang lain.

Sebab itulah iman adalah sangat penting untuk dipelihara, dijaga, disemai dan dipupuk agar terus kekal, kuat, menebal dan kembar mekar didalam hati seseorang sehingga menggerakkannya untuk melaksanakan perintah-perintah Allah Taala, menjauhi larangan-Nya dan mengambil cara hidup Baginda Nabi Sallallahu alaihi wa sallam. Sebab itulah usaha atas iman adalah sangat perlu dijalankan. Allah Taala sendiri memerintahkan kepada orang-orang beriman agar beriman, membawa maksud pentingnya menguatkan iman yang sedia ada. Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam sendiri memerintahkan agar iman itu diperbaharui dengan cara memperkatakan 'Laa ilaaha illallah'. Sebab iman itu boleh luntur seperti lunturnya warna pada kain, maka sangat penting untuk iman itu untuk dimantapkan.

Sebab itulah usaha atas iman dijalankan. Sebab itulah usaha dakwah & tabligh yang suci murni ini mengajak agar ummat ini sama-sama berusaha untuk menguatkan iman. Sebab itulah percakapan mengenai kebesaran Allah sangat penting dibuat. Sebab itulah usaha ziarah dari pintu ke pintu, kampung ke kampung, bandar ke bandar, negeri ke negeri dan ke seluruh alam sangat penting dijalankan bagi sesama Islam memperingatkan perihal pentingnya iman dan pentingnya usaha atas iman dijalankan.

Sebab itulah usaha dakwah sesama Islam sangat penting dibuat. Sebab ummat Islam sendiri, lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, rata-rata sangat lemah kadar imannya. Manakala sebilangannya berada di pinggiran pintu kemurtadan, dan segelintir telah pun terkeluar dari Islam dan dengan penuh beraninya mengisytiharkan murtad. Alangkah sedihnya kerana perkara ini berlaku di depan mata kita. Hanya kepada Allah kita mengadu.

Maka tiada lagi alasan yang dapat kita berikan, selain dari sama-sama turut serta didalam usaha memperbaharui iman dan menguatkan iman ini. Atau sekurang-kurangnya, atas kelemahan dan kedhaifan kita, kita memberi sokongan dan galakan kepada rakan-rakan untuk berusaha atas perkara ini, atau paling kurang pun, janganlah kita halang mereka yang hendak berusaha atas perkara ini.

Ya Allah, selamatkanlah iman kami, selamatkanlah iman ummat ini, dan sebarkanlah hidayah-Mu ke seluruh alam. Amin.