Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Thursday, August 1, 2013

Taatlah kepada Allah, dan Taatlah kepada Rasul, walau berlawanan dengan akal fikiran kita

Kadang-kadang, perintah Allah dan Sunnah Nabi-Nya Sallallahu alaihi wa Sallam tidak dapat difahami dengan akal fikiran dan kefahaman dan pengalaman manusia yang amat cetek. Kerana kefahaman wahyu bermula apabila capaian akal sampai ke penghujungnya. Sebab itulah Allah tidak memberitahu kita sesetengah perkara untuk tidak menyusahkan kita. Dan sebab itu juga Sayyidina Ali Karramallahu wajhah berkata (lebih kurang maksudnya): ' Jikalaulah agama ini difahami dengan akal, tentulah perintah menyapu khuf itu pada sebelah bawahnya, dan bukan sebelah atasnya'. Bahkan begitu bahaya meletakkan syarat kefahaman agama itu bersesuaian dengan akal sehingga mengatasi Qur'an dan Sunnah, kerana ini boleh menyebabkan seseorang itu sesat, sebagaimana sesatnya golongan muktazilah. Perintah Allah yang tidak difahami oleh akal tetap perlu ditaati, dan dalam istilah fiqh, ia disebut sebagai 'amar taabbudi'. Namun didalam hati kita hendaklah beriktiqad bahawa setiap perintah Allah dan Sunnah Rasul-Nya, pasti dan pasti membawa kepada kejayaan yang sebenar-benarnya, dunia dan akhirat.

Allah memerintahkan Nabi Musa Alaihissalam untuk mengetuk tongkat baginda ke laut semasa dikepung oleh tentera Fir'aun. Perintah ini tidak dapat difikir dengan akal. Apa faedah tongkat diketuk ke laut dalam keadaan nyawa terancam untuk dibunuh oleh tentera Fir'aun yang semakin hampir? Namun Nabi Musa Alaihissalam taat dan berbuat sebagaimana diperintahkan. Maka dengan qudrat Allah Taala, laut terbelah dan menjadi laluan untuk Nabi Musa Alaihissalam dan kaumnya melintas.

Dalam satu peperangan orang-orang Islam menentang tentera kafir, kemenangan tidak muncul-muncul. Sayyidina Umar Radhiallahu anhu meneliti amalan tentera-tentera Islam dan mendapati mereka tidak memerhatikan Sunnah miswak dan meluruskan saf solat. Apa kaitan sunnah-sunnah ini dengan strategi peperangan? Namun apabila ia diamalkan semula, maka perisik kafir menyangka yang tentera Islam mula mengasah gigi untuk memakan mereka, sehingga berita ini menjadi sumber ketakutan kepada musuh-musuh Islam dan akhirnya menjadi sebab kekalahan mereka.

Setelah wafatnya Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam, telah timbul golongan yang tidak mahu membayar zakat, golongan murtad, dan wujudnya nabi palsu, sedang musuh-musuh Islam Rom dan Parsi bersedia untuk menyerang negara Islam pada bila-bila masa. Seluruh sahabat bersetuju untuk tentera Islam bertahan di Madinah. Namun Sayyidina Abu bakar Radhiallahu anhu tetap bertegas memerintahkan agar jamaah yang dibentuk sebelum nabi wafat agar terus keluar ke jalan Allah. Bahkan seluruh laki-laki telah keluar ke jalan Allah sehinggakan tiada lelaki yang boleh melaungkan azan di Madinah beberapa hari. Namun sesudah itu, apabila jamaah dakwah dikeluarkan, maka seluruh permasalahan ummat Islam telah Allah Taala selesaikan.

Begitulah juga dengan permasalahan ummat Islam pada hari ini. Kita kena kembali sebagaimana apa yang dibuat oleh Nabi dan para sahabat untuk menyelesaikan masalah ummat. Kerana rahsia dan kekuatan perintah Allah dan Sunnah Nabi-Nya melangkaui pemahaman dan pengalaman dan akal fikiran kita. Imam Malik Rahimahullah berkata, 'Orang yang terkemudian daripada ummat ini sekali-kali tidak akan dapat diislahkan (diperbaiki) kecuali dengan cara yang sama digunakan untuk mengislahkan orang pada zaman permulaannya.'

Semoga Allah bagi kita taufiq untuk amal perkara ini. Amin.
Wallahu a'lam.

No comments: