Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Friday, May 3, 2013

Ya Allah! Sejahterakanlah Negara Kami!

Tuan-tuan yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama memanjat doa kepada Allah Tabaraka wa Taala, agar Dia mengurniakan kesejahteraan kepada negara kita, dan dilindungi dari segala marabahaya sempena musim pemilihan pucuk pimpinan negara yang tercinta ini. Sebar-sebarkanlah agar seluruh muslimin mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk negara kita dan seluruh ummat Islam umumnya, Amin.

* * * * *


Bismillah, Walhamdulillah, Wassolatu wassalamu Ala Rasulillah.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,
Dengan kasih sayang-Mu Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa kami, dosa ibu bapa kami, dosa anak isteri kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami, dosa pemimpin-peminpin kami, dosa ahli masyarakat kami, dan dosa kaum muslimin dan muslimat seluruhnya, sama ada yang masih hidup, atau yang telah kembali kepada-Mu.

Wahai Allah, Pemilik sekalian alam, Raja Segala Raja, Penguasa Hari Pembalasan,
Kami menadah tangan kepada-Mu, dengan segala kelemahan, kedhoifan dan kekurangan. Kami memohon Ya Allah, agar dikurniakan petunjuk dan hidayah dan bantuan-Mu kepada kami, dan juga kepada masyarakat kami, dan para pemimpin kami, dan penduduk negara tanah tumpah darah kami, dan ummat Islam, dan seluruh manusia umumnya, sehingga ke hari kiamat.

Wahai Tuhan yang mengurniakan kuasa dan mencabut kuasa dari sesiapa yang dikehendaki,
Dinegara kami sekarang, akan diadakan pemilihan tampuk pimpinan yang Engkau jauh lebih mengetahui mengenai urusan ini. Kau permudahkanlah segala perkara yang bersangkutan dengannya, Kau berkatilah segala usaha untuk menjayakannya, Kau lindungilah kami semua dari segala bentuk marabahaya yang boleh datang darinya semasa ia diadakan dan juga selepasnya, Kau jauhkanlah kami dari segala bentuk kemungkaran yang ada didalamnya yang boleh mendatangkan Murka-Mu, Kau kurniakanlah ketenangan ke dalam jiwa-jiwa yang terlibat didalamnya, dan kau jadikanlah ia sebagai perbuatan yang bersesuaian dengan kehendak-Mu.

Wahai Allah, Tuhan yang Maha Adil, Yang Maha Berkuasa,
Kau berilah taufik dan petunjuk-Mu kepada pemimpin yang kau pilih untuk menguasai kami. Kau jadikanlah mereka menjadikan agama-Mu sebagai pegangan mereka, perintah-perintah-Mu sebagai junjungan mereka, tegahan-tegahan-Mu sebagai sempadan mereka, Sunnah kekasih-Mu sebagai ikutan mereka, perjuangan untuk agama-Mu sebagai jalan mereka, kehidupan akhirat sebagai cita-cita mereka, dan Kau jadikanlah mereka sebagai pemimpin kepada pejuang-pejuang agama-Mu.
Kau pilihlah mereka sebagai golongan yang menegakkan panji-panji agama-Mu, dan sentiasa beramar makruf dan bernahi mungkar, dan menjadi para da'i penyeru manusia kepada-Mu.

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim,
Kau lembutkanlah hati para pemimpin kami, agar mereka berlemah lembut terhadap kami, menghormati yang tua dikalangan kami, mengasihi yang muda diantara kami, dan memuliakan para pewaris Nabi-Mu dan para Wali-Mu. Kau berilah kekuatan kepada mereka untuk berlaku adil dikalangan manusia, amanah didalam memelihara harta negara, menjalankan pemerintahan sesuai dengan apa yang Kau perintahkan, dan sesuai dengan apa yang nabi Engkau Sunnahkan.

Ya Allah, Yang Maha Pengasih Penyayang,
Kau satukanlah hati-hati ummat ini, janganlah kami ini berpecah semata-mata kerana berbeza pandangan siasah yang sebenarnya perkara furu' disisi-Mu dan dibenarkan didalam syariat agama-Mu,
ampunilah keterlanjuran lidah dan perbuatan dikalangan kami kerana menyatakan keburukan ummat dan lawan politik mereka melampaui hak mereka, Kau kuatkanlah silaturrahim dan kasih-sayang dikalangan kami mengatasi fahaman politik kami, Kau syiarkanlah suara dikalangan kami yang menyeru ke arah kesatuan ummat dan kash-sayang sesama ummat, dan janganlah hendaknya perbezaan pandangan siasah ini, sehingga menyebabkan terputusnya kami dari rahmat dan pandangan dan kasih-sayang Engkau terhadap kami Ya Allah. Ya Allah, janganlah Kau murka atas kami, ampunilah kami, kasihanilah kami...

Ya Allah, Wahai Yang Maha Merancang lagi Maha Mengetahui,
Kau lindungilah iman para hamba-Mu di negara ini dan di seluruh dunia umumnya, dari segala perkara yang boleh melemah dan merosakkan Iman. Kau kuatkanlah iman kami, dan selamatkanlah kami semua dari segala bentuk rancangan jahat musuh-musuh agama-Mu dan musuh-musuh kami, sama ada yang terang-terangan atau yang tersembunyi, yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan negara kami. Ya Rabb, Kau jauhkanlah negara kami dari huru-hara, rusuhan, pergaduhan, pembunuhan atau peperangan yang menyebabkan tumpahnya darah orang-orang yang lemah dan yang tidak bersalah dikalangan kami. Kau peliharalah kami semua Ya Allah, dari tipu daya Yahudi dan Nasrani yang sentiasa berusaha menghancurkan kami dan agama-Mu. Ya Allah, Engkau yang Maha Melindungi lagi Maha Mengasihani.

Ya Allah, sesungguhnya tiada daya dan upaya kami, melainkan hanya dengan bantuan-Mu..

Amin Ya Rabbal Alamin.

Wasallallahu ala Saiyidina Muhammad, Wa ala alihi wa sohbihi Ajmain. Walhamdulillahi Rabbil Alamin.


1 comment:

Kaki Bakar said...

Ammen ya Rabbal alameen...