
Kubur Abu Ayub al-Ansari Radiyallahu anhu berhampiran Masjid Eyyub, Istanbul, Turki
Abu Ayyub al-Anshari ra atau nama sebenarnya Khalid ibn Zayd ibn Kulayb dari Bani Najjar merupakan seorang sahabat yang mulia dan terkenal dengan keindahan budi pekerti. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sangat akrab dengan Rasulullah SAW dan bersama Baginda di dalam semua peperangan. Malah Allah telah memuliakan penduduk Timur dan Barat yang menyebutnya, manusia yang paling tinggi darjatnya yang mana rumahnya telah dipilih di antara rumah kaum Muslimin lainnya untuk persinggahan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah. Ini merupakan kemuliaan terbesar bagi Abu Ayyub al-Anshari ra.
Abu Ayyub al-Anshari ra terlibat secara langsung di dalam usaha dakwah menawan dan membebaskan kota Konstantinople pada tahun 44H/ 666M di dalam satu ketumbukan tentera yang diketuai oleh Yazid bin Muawiyah bagi merealisasikan Motivasi Nabawi berdasarkan hadith:
“Konstantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” (Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335)
Tahukah anda bahawa Abu Ayyub al-Anshari pada ketika itu usianya sudah mencecah lebih 80 tahun! Ya, beliau sudah cukup tua. Namun beliau membuktikan bahawa tokoh lanjut usia yang penuh uban di kepalanya juga mampu memberi sumbangan dan berprestasi besar dalam perjuangan Islam!
Maka sebagaimana yang diceritakan dalam perkisahan sejarah, tentera Islam telah bertembung dengan Tentera Byzantine di Konstantinople dan terjadilah perang yang berkecamuk. Saat jatuh sakit menjelang wafat di antara pasukan Muslimin yang tengah dalam perjalanan berperang, Yazid bin Muawiyah telah bertanya kepadanya apa permintaan terakhir beliau. Maka dengan semangat juang, Abu Ayyub al-Anshari menjawab dalam keadaan nazak:
“Bawakan tubuhku dan teruskan perjuangan bersama-sama dengan tubuhku di tengah musuh. Dan sekiranya aku syahid meninggal dunia.. Kau kebumikanlah aku di Konstantinople.. Supaya pada suatu hari nanti apabila tentera Islam berjaya menawan Konstantinople.. Maka aku akan mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku… Dan pada hari itu tahulah aku bahawa janji Nabi SAW sudah terlaksana!”
Sebahagian riwayat menyatakan Abu Ayyub al-Anshari dengan sepenuh keyakinan mengatakan; “Jika aku mati maka bawalah jenazahku. Jika kalian bertemu dengan musuh, kuburkanlah jasadku di sana. Aku ingin jasadku dikubur di tengah medan pertempuran atau yang dekat dengannya, sehingga rohku bergerak di atas medan tempur.”
Itulah permintaan Abu Ayyub al-Anshari dan ditunaikan oleh Yazid bin Muawiyah. Beliau menginginkan kehidupan Akhiratnya dalam keadaan berjihad sebagaimana semasa hidupnya di dunia. Akhirnya di jantung Konstantinople, ketika pasukan Islam berperang melawan pasukan musuh, di sanalah jasad Abu Ayyub al-Anshari yang mulia itu dimakamkan.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, lebih 800 tahun kemudian, tentera Islam pimpinan Muhammad bin Murad yang lebih dikenali sebagai Muhammad Al-Fateh pada tahun 857H/ 1453M berjaya menawan Konstantinople dan menukar namanya kepada Islam Bul yang bermaksud Kota Islam (kini dikenali sebagai Istanbul). Maka Abu Ayyub al-Anshari pastinya gembira mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburnya pada ketika itu. Dan benarlah bahawa janji Nabi SAW pasti terlaksana!
[Dipetik dan disunting dari http://muhtarsuhaili.wordpress.com/2009/12/21/motto-hidup-infiru-khifafan-wa-tsiqalan/#more-676]
1 comment:
Subhanallah..
Post a Comment